GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Sungai Buloh: Dua lelaki maut selepas skuter dinaiki dilanggar sebuah bas dari belakang berhampiran persimpangan lampu isyarat Paya Jaras di Jalan Kuala Selangor-Sungai Buloh, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, penunggang Mohamad Jeffry Mohd Saundi, 36, dan pembonceng, Mohd Noor Azmanizam Mashusin, 39, disahkan meninggal dunia di lokasi dipercayai akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, kejadian berlaku apabila skuter Yamaha Nouvo S dinaiki mangsa dipercayai bergerak dari lorong kiri ke laluan tengah.

"Motosikal mereka kemudian dilanggar sebuah bas dipandu seorang lelaki berusia 56 tahun yang datang dari arah belakang.

"Pelanggaran itu menyebabkan kedua-dua mangsa jatuh ke atas jalan raya dan dilanggar tayar hadapan kanan bas berkenaan," katanya dalam kenyataan, di sini.

Shafa'aton berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

"Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Hasanal Hasif Johari di talian 019-2264650 untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 9:39 PM