Oleh Asmah Rusman

Sungai Buloh: Dua lelaki tempatan termasuk seorang daripadanya memiliki rekod masalah mental ditahan selepas membuat kecoh dengan merosakkan pondok menunggu bas dan papan notis awam di hadapan Balai Polis Sungai Pelong, di sini, 11 pagi, Jumaat.

Pemeriksaan ke atas suspek yang berusia 37 dan 44 tahun berkenaan turut menemui tiga botol kaca bersumbu kain berhampiran pagar balai polis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Junaidi Bujang, berkata suspek bertindak agresif dengan memecahkan kaca papan notis awam dan siling pondok menunggu bas yang dibina ketua polis balai terbabit.

“€œSiasatan mendapati, suspek berusia 44 tahun itu mempunyai rekod mental dan sedang menjalani rawatan manakala seorang lagi disyaki mengalami masalah jiwa kesan daripada pengambilan dadah,”€ katanya.

Menurutnya, berhubung dakwaan cubaan serangan itu, pihaknya masih menyiasat kerana ketiga-tiga botol berkenaan yang dipercayai ingin dijadikan bom tangan itu tidak berisi minyak petrol.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2015 @ 11:46 PM