Ajaran sesat ni akan cuba mendapatkan kepercayaan pengikutnya melalui doktrin tertentu yang dilakukan.
Ajaran sesat ni akan cuba mendapatkan kepercayaan pengikutnya melalui doktrin tertentu yang dilakukan.
KAFE AHAD

Baru-baru ini negara dikejutkan melalui pendedahan eksklusif akhbar ini mengenai tenaga pengajar sebuah madrasah tahfiz tidak berdaftar di Selangor memukul dan memaksa pelajar tidur di dalam tandas.

Malah, madrasah berkenaan turut terkenal dengan pelbagai program dakwah membabitkan individu mengaku kononnya mempunyai jalur keturunan ke-38 daripada Nabi Muhammad SAW dengan menggunakan gelaran Mawla Amin untuk mengutip dana tidak sah.

Ahli Jawatankuasa Pengawalan Akidah Majlis Agama Islam Selangor (Mais), PROF MADYA DR MOHD SUKKI OTHMAN mengupas lebih lanjut berkenaan tindakan sesetengah pihak sanggup 'menunggang' agama untuk kepentingan peribadi, seperti yang dikongsikan bersama wartawan MUHAMAAD RAZIS ISMAIL untuk Kafe Ahad minggu ini.

Kenapa masyarakat mudah terpengaruh dengan dakyah songsang yang dibawa sesetengah individu yang berlatar belakang agama?

Hari ini kita melihat dunia yang semakin tidak stabil, banyak peperangan berlaku termasuk berlakunya peperangan di Palestin, di Ukraine dan sebagainya yang menyebabkan ramai semakin yakin bahawa dunia akhir zaman sudah berada di fasa hampir kiamat.

Biasanya apabila berlaku situasi tidak stabil seumpama ini dan dilihat keadaan dunia yang semakin meruncing, maka, di sinilah ada orang mengambil kesempatan, membuka peluang kepadanya untuk melontarkan idea 'penyelamat' terhadap umat. Tambahan pula masyarakat kurang ilmu terutama berkaitan asas-asas hukum syarak.

PROF MADYA DR MOHD SUKKI OTHMAN.
PROF MADYA DR MOHD SUKKI OTHMAN.

Keduanya, manusia mudah terpengaruh dengan benda-benda pelik. Kalau seseorang itu boleh buat benda pelik, termasuk boleh berubat orang atau buat ramalan dan kebetulan ramalan itu tiba-tiba terjadi, lagilah orang akan percaya dan tidak lagi ragu-ragu meletakkan kepercayaan seolah-olah orang itulah yang benar. Orang Melayu terutamanya memang mudah tergoda dengan pengaruh atau benda-benda pelik yang sampai ke telinganya. Sehubungan dengan itu, terdapat dalam kalangan masyarakat Melayu yang apabila mendengar saja seseorang boleh melakukan sesuatu yang luar biasa terus dianggap sebagai 'keramat', yang akhirnya begitu mudah terjebak dengan ajaran sesat.

   

Kebanyakan ajaran sesat bermula daripada kutipan dana. Lebih menghairankan, ramai pula pengikut, bagaimana Dr melihat perkara ini?

Pertama sekali ajaran sesat ni dia akan cuba mendapatkan kepercayaan pengikutnya melalui doktrin tertentu yang dilakukan. Apabila sudah mendapat kepercayaan, maka mudahlah baginya melaksanakan segala tindakan dan perancangan liciknya itu. Orang yang menggerakkan ajaran sesat itu biasanya akan menunjukkan dirinya sebagai seorang yang hebat yang boleh dipanggil tok guru, sheikh dan pelbagai lagi gelaran yang akan digunakan untuk memancing kepercayaan orang dan sekali gus mudah melaksanakan agendanya. Kebiasaannya ajaran sesat ini, sudah tentu dia ada kepentingan tertentu untuk dicapai, dan ada beberapa aspek yang kita boleh lihat. Yang pertama dia akan cuba mendapatkan duit, kedua pengaruh dan ketiga seksual. Unsur duit, bagaimana dia nak buat duit, dengan pelbagai cara termasuk pengorbanan kepada tok guru, bayar zakat khusus pada guru, kutipan untuk pembinaan negara, dana untuk syurga dan sebagainya. Biasanya ajaran sesat ini juga akan mempermudahkan hal berkaitan ibadah sampai tahap meninggalkan terus kewajipan seperti solat dan sebagainya. Jadi tidak hairanlah apabila dah dapat kepercayaan dan pengaruh, maka lebih mudah bagi ajaran sesat itu untuk mengeksploitasi dan memperdayakan pengikutnya untuk mendapatkan wang secara mudah kononnya untuk dana jihad, dana pembinaan negara Islam dan sebagainya.

   

Berhubung dengan Mawla dari Maghribi, apakah wajar mempercayai seseorang yang mengaku dari keturunan Nabi SAW dengan begitu mudah?

Hari ini sesiapa saja boleh dakwa dengan mudah dari keturunan Nabi SAW bertujuan memperoleh pengaruh tadi. Sebab kita tahu keturunan Nabi SAW ini memang sangat istimewa. Tetapi Nabi SAW juga tidak mengaku dan tidak iktiraf sekiranya keturunannya melakukan perkara mungkar, perkara maksiat, perkara yang bercanggah dengan hukum syarak. Oleh itu, jangan dilihat semata-mata keturunan nabi, tetapi kita kena lihat sahsiah seseorang itu bagaimana, apakah dia bawa ilmu yang betul, ilmu berdasarkan syariat atau pembawakan yang sebenarnya bercanggah dengan al-Quran dan sunnah nabi serta bercanggah dengan syariat Islam. Jadi kalau sekadar nak dakwa sebagai keturunan nabi, ia tidak memberikan makna apa-apa kalau tidak benar-benar melaksanakan syariat yang dibawa oleh nabi. Entah betul, entah tak, kita pun tak tahu, Setakat keturunan nabi ni, bukan dia seorang saja, kalau betul pun Mawla itu keturunan nabi, bukan dia seorang saja. Serata dunia ada. Di Malaysia sendiri ramai keturunan nabi, kalau tengok susur galur keturunan nabi, di negara Arab pun ramai, bahkan di serata dunia. Jadi tidak timbul isu itu.

   

Apakah peranan membanteras doktrin palsu serta kegiatan penipuan ini hanya perlu dimainkan pihak berwajib saja?

Pihak berwajib memainkan peranan dalam memastikan bahawa keamanan dan keharmonian di dalam masyarakat dan negara terus terpelihara. Sekiranya orang terikut dengan doktrin palsu maka sudah tentu dia akan melakukan perkara-perkara yang boleh mencetuskan kekacauan atau menyebabkan kerugian dari sudut ekonomi, sosial dan politik. Jadi maknanya pihak berwajib memang bertanggungjawab. Di samping itu, setiap orang bertanggungjawab untuk memelihara dirinya daripada terjebak dengan apa juga ajaran sesat yang menyeleweng. Caranya ialah dengan menuntut ilmu. Sebab itu nabi berkata, menuntut ilmu itu adalah wajib dan fardu ke atas setiap individu muslim. Saya nak beri satu kaedah untuk difahami semua orang iaitu sesiapa yang mengaku sebagai Imam Mahdi, maka sah dia bukan Imam Mahdi. Sebabnya kalau ikut riwayat, Imam Mahdi ketika nak dibaiahkan, dia sendiri tak nak terima, akhirnya apabila dia dipaksa dia terpaksa menerima untuk dibaiahkan juga. maknanya Imam Mahdi ni bukanlah sesuatu yang dikejar untuk mendapatkannya . Untuk mengetahui siapakah Imam Mahdi, kita wajar merujuk kepada hadis-hadis nabi yang sahih.

   

Nasihat Dr kepada umat Islam yang 'mencari Rasulullah SAW' ini. Apakah keutamaan yang perlu diberikan dalam beribadat?

Dalam konteks beribadat ini, saya nasihatkan kepada diri saya dan orang lain, iaitu berpegang kepada konsep ilmu pemimpin kepada amalan. Amalan itu termasuklah beribadat, jadi maknanya, bila mana kita nak beramal dan beribadat ia mesti berasaskan kepada ilmu. Ilmu yang bertepatan dengan al-Quran dan sunnah Rasulullah. Jadi kalau kita berilmu kita dapat mengenal pasti segala cerita-cerita orang itu sama ada ia betul atau tidak. Contohnya dia cerita daripada mimpi, mimpi bukan jadi satu hujah dalam hukum syarak, jadi kalau orang berilmu dia tahu ini bukan hujah. Contohnya dia ramal tertentu, beritahu dia (dapat) dari Nabi SAW, nabi suruh. Ini semua syariat dah lengkap, (tapi) ada pula kata nabi beritahu ada yang tak selesai melalui dia . Orang berilmu dia dapat menepis perkara seumpama ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2024 @ 7:10 AM