Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Pelakon Amar Baharin, 36, mengakui tetap akan berlakon seperti biasa untuk babak membabitkan pelakon wanita lain.

Suami kepada pelakon dan pengacara Amyra Rosli ini berkata, dia perlu memperlihatkan sisi logik apabila berlakon dalam setiap babak.

"Saya tak nak nampak terlalu kekok kerana fikirkan benda-benda lain. Maksud saya, benda itu bukanlah tak boleh fikir langsung kerana kita perlu juga fikirkan pergaulan dan semuanya.

"Tapi apa yang saya pentingkan untuk babak itu ialah saya mahukan logik kalau nak buat sesuatu dalam lakonan. Saya tak nak nampak terlalu janggal apabila pengarah tengok dalam monitor. Begitu juga penonton yang tengok di kaca TV juga akan berperasaan sama nanti," katanya.

Menurutnya, jika dia tidak mahu berlakon dengan pelakon wanita lain, ia bermaksud dia tiada dalam industri.

"Saya lebih suka begitu. Macam jururawat yang nak tolong orang sakitlah. Kalau tak boleh nak pegang pesakit, jangan jadi jururawat dan buat kerja lainlah.

"Apapun, bila dah berkahwin banyak benda yang kita perlu jaga. Tak dinafikan saya perlu juga jaga perangai dan sikap.

"Saya sedar diri dan sedar ruang saya. Insya-Allah benda-benda ini takkan jadi isu," katanya.

Amar kini kembali menjalani penggambaran drama bersiri 65 episod berjudul Hati Yang Dikhianati yang bergandingan dengan Isyariana, Mona Allen, Najua Nasir, Zamarul Hisham dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 6:17 PM