Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersedia untuk merujuk kes pelakon yang melakonkan watak gay kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membolehkan siasatan dilakukan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad berkata, ini kerana ia bertentangan dengan norma dan budaya rakyat Malaysia.

"Ia norma rakyat Malaysia yang tidak beretika. Semua agama tidak boleh menerima konsep berkenaan dengan gay ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai seorang pelakon lelaki yang melakonkan babak romantik bersama pelakon lain dalam sebuah siri drama yang sudah ditayangkan.

Katanya, jika perkara itu berlaku di mana-mana negeri, jabatan agama ngeri berkenaan akan diminta memanggil pelakon terbabit untuk mendapatkan kepastian.

"Jakim hanya penyelaras saja, tidak ada bidang kuasa untuk menghukum kerana ia terletak kepada pihak berkuasa agama negeri," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, semua negeri berusaha untuk membolehkan jemaah menunaikan solat berjemaah secara normal.

Katanya, ia dibincangkan di dalam Majlis Kebangsaan Islam (MKI) bersama tokoh agama dan mufti sebelum ini.

"Tapi perkara itu kita bawa kerana bidang agama ini adalah bidang kuasa negeri-negeri. Sebab itu sesetengah negeri tak sama. Di Wilayah (Persekutuan) alhamdulillah, solat berdasarkan kapasiti masjid. Sesetengah negeri masih lagi dihadkan 300 orang, 500 orang, ada negeri 12 orang saja.

"Jadi benda-benda itu kita kena hormatlah, kita ada perlembagaan, tak boleh nak langgar bidang kuasa yang ada orang.

"Tapi apa boleh buat, orang hentam menteri agama. Pagi, petang, siang, malam, subuh, sahur, dhuha orang hentam saya. Tapi saya 'steady' lah. Saya sejuk di kepala, membara di dada. Nabi pun orang hentam teruk, kita ini manusia, mesti orang hentam lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 6:59 PM