Farahdhiya
Farahdhiya
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pelakon dan penyanyi Farahdhiya, 38, menjelaskan pemakaian tudung semasa Ramadan adalah amalan yang biasa dilakukannya sejak beberapa tahun lalu. Farahdhiya atau nama sebenarnya Farahdhiya Mohd Amin berkata, pengikut Instagramnya pasti tahu dia akan berbuat demikian setiap kali menyambut Ramadan.

"Memang saya bertudung bagi menghormati bulan Ramadan. Sebenarnya saya tak pandai nak komen sangat kerana perkara ini membabitkan saya dengan Allah dan benda-benda ini sangat 'privasi'.

"Kalau boleh saya tak nak jadikan isu dan topik. Ikutkan saya belum bertudung, tapi memang jadi rutin akan bertudung setiap kali Ramadan.

"Namun insya-Allah dalam hidup kita semua nak jadi lebih baik. Harapnya dengan permulaan-permulaan yang begini, insya-Allah saya akan bertudung terus. Tak tahulah bila kerana saya tak berani nak janji. Jadi doakan yang baik-baik," katanya kepada Harian Metro.

Penyanyi lagu Bertakhta Di Hati ini menafikan perubahan dirinya juga disebabkan mahu mendirikan rumah tangga.

"Buat masa ini tiada tarikh kahwin dan tiada benda yang saya boleh nak komen. Kalau sampai waktunya Insya-Allah orang akan tahu juga.

"Berkenaan tudung, saya sebenarnya jarang dapat kecaman dari peminat pun. Malah mereka yang biasa mengikuti saya tahu dan banyak mendoakan saya kekal bertudung.

"Kalau setakat satu, dua kecaman itu biasalah. Saya dah 18 tahun dalam industri dan tak ambil peduli benda-benda negatif. Tak terkesan pun kerana terlalu sedikit orang yang mengecam," katanya.

Farahdhiya berkata, dia lebih suka berfikiran positif dengan mendoakan yang baik-baik untuk semua orang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2022 @ 2:41 PM