Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
Faris Fuad


Kuala Lumpur: Seorang pengasuh Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) dipenjara tujuh hari dan didenda RM32,000 oleh dua Mahkamah Sesyen berasingan di sini, tadi, kerana menganiaya termasuk menekup kepala dengan plastik dan menarik rambut masing-masing terhadap dua kanak-kanak berusia setahun.

Siti Rosliza Mukhtar, 47, dipenjara bermula semalam dan akan dipenjara 18 bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Hukuman terbabit diputuskan dua hakim, Datuk Nu'aman Mahmud Zuhudi dan Norina Zainol Abidin, selepas Siti Rosliza mengaku bersalah atas dua pertuduhan menganiaya kanak-kanak terbabit.

Mengikut pertuduhan, Siti Rosliza melakukan penganiayaan dengan menekup kepala kanak-kanak perempuan dengan plastik yang mana ia mungkin menyebabkan mangsa cedera fizikal dan emosi di sebuah Taska di Brickfields, pada 3.19 petang, 16 November lalu.

Tertuduh juga didakwa melakukan penganiayaan dengan menarik dan mengheret tangan dengan kasar serta menarik rambut kanak-kanak lelaki untuk yang mungkin menyebabkan mangsa cedera fizikal di Taska terbabit, pada 5.36 petang, tarikh sama.

Susulan itu, wanita berkenaan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Khaliq Nazeri, memohon hukuman penjara dan denda dikenakan terhadap tertuduh yang bersifat pengajaran, mengambil kira faktor kepentingan awam serta menghantar mesej jelas bahawa tiada kompromi terhadap kesalahan dilakukan.

"Tertuduh sepatutnya lebih bertanggungjawab dan berhati-hati ketika mengasuh kanak-kanak. Kesalahan itu jelas penganiayaan kepada kanak-kanak.

"Sebagai orang dewasa, tertuduh boleh lihat kesan dan akibat tindakannya terhadap kanak-kanak itu," katanya.

Seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya, Noorhani Muhmmed Ayub berkata, tertuduh sebagai pengasuh sepatutnya menjaga kanak-kanak dengan baik seperti diamanahkan oleh ibu bapa mereka.

"Tertuduh yang tiada rekod jenayah menekup kepala mangsa dengan plastik dan ia membahayakan serta mengakibatkan kecederaan serius kepada kanak-kanak itu.

"Saya memohon hukuman setimpal diberikan kepada tertuduh yang didakwa kerana menganiaya mangsa," katanya.

Susulan itu, Siti Rosliza yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana menanggung ibu yang rabun serta adik-beradik lain.

"Saya tidak berkahwin dan ketika ini menumpang di rumah adik. Saya juga perlu melunaskan kembali bayaran pinjaman di syarikat lama saya bekerja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2022 @ 2:36 PM