Oleh Izz Laily Hussein


Johor Bahru: "Selepas kejadian itu anak saya jadi trauma dengan orang dewasa," kata Farah Dayana Izzati Mohamed Nasir, 26, ibu bayi mangsa kecuaian pengasuh sebuah taska swasta Mac lalu.

Farah Dayana berkata, anak perempuannya itu seolah takut apabila didekati orang dewasa yang tidak dikenali dipercayai kesan kejadian yang menimpanya.

"Dia masih takut dan tak nak dengan orang dewasa, kalau kanak-kanak dia tiada masalah.

"Di pusat jagaan baharu juga, tidak semua pengasuh okey dengan dia, hanya seorang cikgu sahaja yang dia percaya," katanya ketika ditemui di perkarangan mahkamah di sini, hari ini.

Farah Dayana bersama suami, Mohamad Rashideen Khamisan, 26, serta ahli keluarga hadir ke mahkamah bagi mendengar prosiding jatuh hukum ke atas seorang pengasuh taska swasta yang didakwa cuai terhadap dua bayi termasuk anaknya.

Terdahulu Hakim Mahkamah Sesyen Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim menjatuhkan hukuman denda RM40,000 terhadap Nurul Shahira A'shiqin Sulaiman, 28, yang didakwa bertindak cuai yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap dua bayi, Mac lalu.

Hukuman itu dijatuhkan selepas wanita itu mengekalkan pengakuan bersalah bagi dua pertuduhan yang dihadapinya pada 21 Mei lalu.

Hakim yang mengenakan hukuman denda RM20,000 bagi setiap pertuduhan itu turut memerintahkan hukuman penjara lima bulan masing-masing bagi setiap pertuduhan sekiranya tertuduh gagal membayar denda berkenaan.

Selain itu, Che Wan Zaidi turut mengenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan jaminan RM20,000 tidak bercagar bagi setiap pertuduhan serta menjalani khidmat masyarakat selama 100 jam bagi kedua-dua pertuduhan dalam tempoh enam bulan bermula tarikh sabitan.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai hukuman mahkamah terhadap pengasuh itu, Farah Dayana yang sedang hamil berkata, dia menerima keputusan dibuat mahkamah walaupun mengharapkan pengasuh itu dihukum penjara.

"Saya sebak. Sebagai ibu, saya kalau boleh mahu dia (pengasuh) kena penjara, tetapi apa pun hukuman yang diberikan mahkamah saya harap ia akan dijadikan pengajaran padanya dan orang lain juga kerana kita tahu banyak kes dera yang berlaku sekarang ini," katanya.

Bercerita mengenai kejadian menimpa bayi perempuan berusia 11 bulan ketika kejadian Mac lalu, Farah Dayana akui terkilan kerana tiada seorang pun wakil pihak pengurusan taska, pengasuh atau keluarga pengasuh bertemu dengannya untuk meminta maaf.

"Tiada pihak yang jumpa minta maaf pun, memang saya terkilan. Kerana kejadian itu, saya perlu keluar duit lagi untuk hantar anak ke pusat jagaan baharu.

"Bila hantar pusat jagaan baharu, bukan anak saya sahaja trauma, saya juga trauma asyik memikirkan sama ada anak saya dijaga baik atau tidak," katanya.

Pada 15 Mei lalu, tular di media sosial dua video berdurasi 48 saat dan 39 saat memaparkan seorang wanita mengasari seorang bayi.

Tindakan wanita itu mengundang marah netizen selepas dilihat memukul bayi yang sedang menangis itu dengan menepuk kepala bayi terbabit.

Malah, wanita yang kelihatan marah kerana bayi itu menangis turut meniup muka bayi terbabit sehingga menyebabkan bayi itu seperti sukar bernafas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2023 @ 2:57 PM
Ibu kepada seorang bayi yang menjadi mangsa kecuaian pengasuh sebuah taska swasta, Farah Dayana Izzati Mohamed Nasir, 26, ketika ditemuramah selepas keputusan kes di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Ibu kepada seorang bayi yang menjadi mangsa kecuaian pengasuh sebuah taska swasta, Farah Dayana Izzati Mohamed Nasir, 26, ketika ditemuramah selepas keputusan kes di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN