HAKIMI (tengah) ceria bersama kedua ibu bapanya. FOTO Instagram kimyismail
HAKIMI (tengah) ceria bersama kedua ibu bapanya. FOTO Instagram kimyismail
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Atlet lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail mendedikasikan ijazah diterimanya buat kedua ibu bapanya yang banyak berkorban masa dan tenaga membesarkannya hingga menjadi insan berguna yang mengharumkan nama negara di arena sukan antarabangsa.

Hakimi, 30, menerima Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Jasmani) daripada Universiti Putra Malaysia pada majlis konvokesyen di Serdang, kelmarin.

"Ijazah ini hadiah untuk Abah dan Mama. Insan yang paling bertungkus-lumus untuk lihat anak dia memiliki pelajaran yang tinggi. Kalau masa kecil, tak siap satu karangan menulis memang tak boleh keluar rumah untuk bermain," tulisnya dalam perkongsian terbaharu di laman Instagram.

"Jam 8 hingga 10 malam memang wajib belajar. Bagi Abah, duit tak ada pun tak apa, janji anak-anak ada buku untuk belajar. Alhamdulillah, memiliki ayah dan mak yang sangat prihatin dengan pelajaran. Terima kasih Abah, Mama," tulisnya.

Hakimi, pemenang tiga pingat emas Sukan Sea dalam acara lompat kijang lelaki (Singapura 2015, Kuala Lumpur 2017 dan Manila 2019), mengambil masa hampir sembilan tahun untuk menamatkan pengajiannya di Fakulti Pengajian Pendidikan UPM sejak ditawarkan kemasukan ke fakulti itu pada 2011.

Ia disebabkan kesibukannya menjalani latihan sebagai atlet kebangsaan selain bertanding di luar negara termasuk Kejohanan Dunia, Sukan Komanwel, Sukan Asia, Sukan Sea, Kejohanan Asia, Kejohanan Dalam Dewan Asia dan Sukan Universiti Dunia.

Pemegang rekod kebangsaan dan Sukan Sea itu kini bertugas sebagai perunding hartanah selain bercita-cita untuk menjadi jurulatih suatu hari nanti.

Dia menjalani pembedahan di tumit kaki kirinya pada Oktober lalu dan dijangka sukar untuk mempertahankan pingat emas dimenanginya pada temasya Sukan Sea Vietnam, Mei ini.

Hakimi bagaimanapun menyasarkan untuk melayakkan diri ke Sukan Komanwel Birmingham 2022 (28 Julai-8 Ogos) dan Sukan Asia Hangzhou 2022 (10-25 September).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 January 2022 @ 1:24 PM