Ashira bersama bapanya, Syed Abdul Aziz. FOTO Instagram
Ashira bersama bapanya, Syed Abdul Aziz. FOTO Instagram
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi, Ashira Aziz berkongsi berita sedih di Instagram mengenai ibu tirinya yang sakit dan terpaksa dihantar sendiri oleh bapanya ke Hospital Selayang, malam semalam. 

Dalam hantaran dibuatnya itu, Ashira menjelaskan ibu tiri yang dipanggil Mak Norma, disahkan positif Covid-19 apabila mengalami muntah dan sesak nafas. 

"Ibu tiri saya dah dibawa ke Hospital Selayang. Dia muntah-muntah, sesak nafas malam tadi. 

"Abah hubungi ambulan, tapi mereka tak dapat datang. Abah yang terpaksa bawa Mak Norma jumpa doktor," tulisnya. 

Ashira juga memaklumkan bahawa bapanya berada dalam keadaan sihat meskipun turut dijangkiti wabak berkenaan.

"Berjam-jam abah tunggu dalam kereta. Abah kuat. Abah kata, abah sihat lagi. 

"Doakan Mak Norma Ariffin diberi kesembuhan sepenuhnya dan juga buat abah, Syed Abdul Aziz Syed Alwi," tulisnya. 

Terdahulu, Ashira memuat naik hantaran mengesahkan bapa dan ibu tirinya kini positif Covid-19. 

"Mohon doa semua. Abah dengan Mak Norma dua-dua positif tahap dua," tulisnya. 

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 6:18 PM