KILANG kitar semula plastik terpakai di Telok Gong diberikan notis POK oleh JAS Selangor dalam serbuan semalam. FOTO ihsan JAS Selangor
KILANG kitar semula plastik terpakai di Telok Gong diberikan notis POK oleh JAS Selangor dalam serbuan semalam. FOTO ihsan JAS Selangor
Norzamira Che Noh


Pelabuhan Klang: Sebuah kilang kitar semula plastik terpakai di Telok Gong, dekat sini, dikenakan notis Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, semalam.

Pengarahnya, Nor Aziah Jaafar berkata, menerusi Operasi Tahun Baru Cina yang dijalankan bersama Majlis Perbandaran Klang (MPK), kilang berkenaan didapati menyalahguna lesen yang diberikan MPK iaitu premis berkenaan dikhaskan untuk pergudangan saja.

"Hasil serbuan, kita mendapati premis berkenaan menjalankan aktiviti menghancur dan mengisar plastik terpakai selain turut membasuh dan memprosesnya menjadi resin untuk dijual di pasaran dalam dan luar negara.

"Kesemua hasil produk akhir kemudiannya dijual di pasaran dalam dan luar negara," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, ketika serbuan dilakukan terdapat tiga warga China dipercayai pekerja premis itu.

Katanya, hasil siasatan turut mendapati operasi haram kitar semula itu dilakukan sejak lapan bulan lalu.

"Notis POK di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 sudah dikeluarkan bagi memastikan tindakan pembaikan diambil segera oleh pihak kilang.

"Kesemua mesin dan peralatan proses disita oleh JAS Selangor mengikut Seksyen 38(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974," katanya.

Nor Aziah berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 34A, Akta dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014.

Sementara itu, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkongsi tindakan yang dilakukan oleh JAS Selangor di Facebooknya serta mengucapkan terima kasih kepada jabatan berkenaan.

"JAS Selangor mengeluarkan Notis Penahanan Operasi Kelengkapan ke atas kilang kitar semula plastik di Telok Gong. Premis menjalankan aktiviti menghancurkan, mengisar, membasuh dan memproses plastik terpakai menjadi resin.

"Premis turut menyalahguna lesen yang dikhaskan tujuan pergudangan saja, semua mesin juga sudah disita. Terima kasih JAS Selangor!," tulisnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2021 @ 1:32 PM