Nan, burung Candik milik Amirul Afnan, dipilih sebagai pemenang kategori ‘Best of The Best’ dalam Pertandingan Burung Candik dan Ayam Serama sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke 217 Tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nan, burung Candik milik Amirul Afnan, dipilih sebagai pemenang kategori ‘Best of The Best’ dalam Pertandingan Burung Candik dan Ayam Serama sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke 217 Tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Hazira Ahmad Zaidi

Pasir Mas: Burung merbah jambul atau candik yang dibeli di Thailand dua tahun lalu membawa tuah kepada Amirul Afnan Afandi, 35.

Ia selepas burung berkenaan memenangi kategori 'Best of The Best' dalam Pertandingan Burung Candik dan Ayam Serama Piala Ketua Polis Kelantan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, semalam.

Menurut Amirul Afnan, kejayaan berkenaan dianggap sebagai rezeki tidak dijangka kerana peluang untuk memenangi kategori berkenaan adalah sukar.

"Bayangkan terdapat 560 burung candik yang dipertandingkan dan burung candik yang sama namakan 'Nan' dipilih sebagai pemenang.

"Nan sudah beberapa kali menyertai pertandingan dan memenangi antara tempat pertama hingga ketiga namun ini pertama kali memenangi kategori 'Best of The Best'.

"Saya membeli burung ini pada harga RM15,000 daripada kenalan di Thailand dan tidak pernah menyesal walaupun sudah berhabis ribuan ringgit kerana pulangan yang diperoleh setiap kali menyertai pertandingan adalah berbaloi," katanya ketika ditemui semalam.

Pertandingan Burung Candik dan Ayam Serama Piala Ketua Polis Kelantan yang diadakan itu disertai seramai 972 peserta dalam negara selain turut membabitkan pencinta burung candik dan ayam serama dari Loas serta Thailand.

Amirul Afnan yang kini mempunyai enam burung itu berkata dia mula berjinak sejak 10 tahun lalu dan dalam tempoh berkenaan kerap menyertai pelbagai pertandingan sama ada dalam mahupun di luar Kelantan.

"Setiap kali menyertai pertandingan, saya tidak pernah balik tangan kosong dan ia membuatkan diri ini bersemangat untuk memelihara burung candik.

"Burung candik perlu dipelihara dengan baik dengan kebersihan sangkar dan pemakanan perlu diberi perhatian bagi memastikan ia mengeluarkan bunyi merdu dan lunak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2024 @ 9:16 AM