Orang ramai melihat spesis  burung Budgie dalam pertandingan semalam. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Orang ramai melihat spesis burung Budgie dalam pertandingan semalam. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris


LEBIH 250 burung ‘Budgie’ dipertandingkan dalam Pertandingan Kecantikan Burung Budgie anjuran Kelab Peminat Burung Budgie Kelantan (KBC) di Kota Bharu semalam.

Pertandingan itu menarik penyertaan 48 peminat burung Budgie di negeri itu.

Wakil penganjur, Mohd Faizal Ismail berkata, pertandingan seumpama itu kerap diadakan bagi menghimpunkan peminat burung Budgie di seluruh Kelantan.

“Ia juga berlangsung sempena kedatangan pengadil dari World Budgerigar Organization (WBO), Bob Wilson dalam siri jelajah beliau.

“Dua spesis yang dipertandingkan kali ini iaitu normal dan English dengan merangkumi lapan kategori iaitu ‘cock’, ‘young cock’, ‘hen’, ‘young hen’, ‘Hagoromo’, ‘Rainbow’, Crested’ dan ‘Fallow Cock’,” katanya.

Bob berkata, dari segi penjurian, ia dilihat dari segi kecantikan, paras fizikal serta kebersihan.

“Dari segi standard penjurian dalam WBO, setiap negara tidak sama namun tiga elemen utama itu adalah dititikberatkan.

“Di Asia, saya melihat hobi memelihara burung Budgie ini masih baru namun begitu spesisnya agak berbeza dari benua lain dan banyak yang menarik,” katanya.

Peserta, Farhan Mohd Arifin, 38, dari Kampung Chempaka dekat sini berkata, dia membawa lapan daripada 30 burung Budgie peliharaannya.

“Saya mula memelihara burung ini sejak empat tahun lalu dengan membeli induknya daripada rakan dengan harga RM150 sepasang.

“Selepas menyertai KBC, saya sering mengikuti pertunjukan serta pertandingan namun bukan kemenangan yang diharapkan sebaliknya lebih kepada untuk memperkenalkan lagi hobi ini kepada umum,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2019 @ 12:23 PM