GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) menegaskan bahawa tuntutan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibuat secara bersasar dan bukan membabitkan 12 juta pencarum.

Presiden PGIRM Azmi Mohd Tahir berkata, pencarum yang benar-benar terdesak wajar dibenarkan pengeluaran.

"PGIRM ambil maklum mengenai kenyataan Ketua Pegawai Strategi KWSP mengenai baki yang tinggal, namun kami menggesa KWSP jangan hanya memberi angka tanpa bukti.

"Justeru itu, kami memohon pihak KWSP melampirkan data lengkap jumlah pencarum yang mempunyai simpanan di bawah RM10,000 berserta usia.

"Tambahan pula, adakah pencarum akan menuntut pengeluaran KWSP jika mereka tidak mempunyai baki mencukupi di dalam akaun mereka?," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azmi mendakwa, pihaknya sudah membuat kaji selidik terhadap pencarum terdesak yang mahu pengeluaran secara bersasar.

"Ia terbukti majoriti lebih daripada 75 peratus pencarum mempunyai wang mencukupi dalam akaun satu untuk pengeluaran demi melangsaikan hutang tertunggak, kelangsungan hidup dan membina kehidupan semula.

"PGIRM memohon KWSP untuk tidak membuat kenyataan tanpa bukti. PGIRM membuat pembentangan dengan pihak atasan berserta data dan bukti, namun mengapa pihak KWSP tidak menunjukkan bukti yang sahih?

"PGIRM mewakili pencarum menuntut KWSP melampirkan bukti sahih menyokong kenyataan berkenaan bukan semata-mata bertujuan untuk menidakkan tuntutan pengeluaran secara bersasar," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan 5.1 juta atau 76 peratus pencarum bumiputera KWSP yang berusia bawah 55 tahun dikenal pasti mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 pada hujung tahun lalu.

Ketua Pegawai Strategi KWSP Nurhisham Hussein dipetik berkata, tahap simpanan penengah (median) untuk bumiputera jatuh daripada RM6,600 pada hujung tahun 2021 kepada RM4,700 pada hujung tahun lalu dengan nilai itu jauh lebih sedikit berbanding sasaran RM240,000 untuk simpanan asas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 January 2023 @ 7:50 PM