GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Pengenalan Akaun Fleksibel Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak akan membantu meringankan beban dialami pencarum pada masa ini.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Tasek Gelugor,Datuk Wan Saiful Wan Jan berpandangan, kaedah itu tidak logik berikutan pencarum yang terjejas memerlukan solusi segera untuk meneruskan kelangsungan.

"Saya nak sebut sikit mengenai pengeluaran KWSP bersasar tak berapa selesa tabungan dipaksa ke atas rakyat sebab bagi saya akan lahirkan sebuah masyarakat terlalu bergantung kepada kuasa dan arahan kerajaan... mereka seolah-olah tak dibimbing ada kesedaran menabung untuk diri sendiri.

"Dalam kita mempersediakan rakyat untuk masyarakat menua, rayuan pengeluaran KWSP bersasar bagi rakyat terdesak lebih baik dan logik berbanding pengenalan akaun fleksibel atau akaun tiga.

"Mewujudkan akaun tiga yang hampir sama seperti akaun simpanan biasa di bank tak logik kerana jumlah simpanan nanti terlalu kecil (sedangkan) pencarum terbeban hari ini bagaimana mungkin mewujudkan Akaun Fleksibel tahun 2024 boleh bantu mereka yang tertekan pada hari ini? katanya di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Katanya, kerajaan juga perlu mencari jalan bagi menggalakkan rakyat menabung sebagai persediaan menghadapi hari tua kelak.

"Untuk menggalakkan tabungan hari tua, saya nak cadangkan kerajaan boleh perkenalkan memberikan pengecualian cukai lebih besar untuk caruman KWSP, saya kira dah ada mungkin boleh ditambah.

"Mungkin juga KWSP dan syarikat yang menguruskan syarikat Skim Persaraan Swasta (PRS) boleh perkenalkan insuran kesihatan percuma kepada pencarum selain memperluaskan lagi program pendidikan kewangan," katanya.

Terdahulu, KWSP dalam satu kenyataan berkata, Akaun Fleksibel akan diperkenalkan sebagai akaun baharu yang boleh diakses oleh ahli pada bila-bila masa, khususnya ketika kecemasan.

Akaun ahli KWSP akan distruktur semula untuk memperkasakan lagi simpanan persaraan demi kesejahteraan hari tua termasuk memperkenalkan Akaun Fleksibel.

Kenyataan KWSP itu sekali gus menyokong pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pengenalan Akaun Fleksibel itu, pada pembentangan Belanjawan 2024, Jumaat lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2023 @ 8:01 PM