Gambar hiasan
Gambar hiasan
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Majoriti pengikut saluran aplikasi WhatsApp Harian Metro atau 4,200 pengguna (66.1 peratus) mahu memanfaatkan Akaun Fleksibel Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan membayar hutang.

Manakala 18.9 peratus atau 1,200 pengguna mahu ia dikekalkan dalam akaun.

Selain itu, 7.7 peratus atau 486 pengguna ingin memanfaatkannya dengan perbelanjaan harian.

Dalam pada itu, 5.3 peratus (337 pengguna) mahu membelanjakannya bagi keperluan anak-anak dan 2.0 peratus atau 128 pengguna lagi bagi membeli gajet.

Peratusan itu diperoleh hasil tinjauan pendapat dibuka hari ini, yang disertai lebih 6,351 responden.

Terdahulu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada kenyataan memberi pilihan kepada pencarum untuk memindahkan sebahagian daripada baki simpanan dalam Akaun Sejahtera mereka (sebelum ini Akaun 2) sebagai amaun permulaan dalam Akaun Fleksibel sekali saja.

Meninjau di ruangan komen Facebook Harian Metro, kebanyakan pengguna memberikan reaksi berbeza.

"Kenapa 10 peratus tidak diambil daripada Akaun 1. Terdapat sebahagian pencarum mempunyai kurang simpanan atau tiada simpanan dalam Akaun 2 untuk dipindahkan ke akaun Fleksibel (akaun baru). Mohon pihak KWSP pertimbang 10 peratus dipindahkan dari Akaun 1 sekiranya Akaun 2 tidak mencukupi," kata pengguna, Aisaluddin Abu Bakar.

"Dividen tahunan tu bayarlah balik ke akaun bank pencarum, bukannya masuk balik akaun KWSP. Dengan itu, dapat la juga pencarum merasa dividen tahunan. Tak perlu tunggu umur 50 tahun atau 55 tahun baru nak merasa hasil simpanan.

"KWSP pun tk rugi apa, sebab caruman pencarum tak akan susut kerana caruman tetap dibuat setiap bulan atau tahun oleh pencarum. KWSP masih ada dana utk buat pelaburan dan jana keuntungan. Dividen tu biasanya keuntungan lebihan saja. 'Win-win situation'. Harap adalah orang yang sokong cadangan ini," kata pengguna, Naz Jazli.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2024 @ 5:13 PM