DATUK Seri Ab Rauf Yusoh. FOTO Rohanis Shukri
DATUK Seri Ab Rauf Yusoh. FOTO Rohanis Shukri
Amir Mamat


Ayer Keroh: Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) dilantik sebagai media rasmi bagi promosi dan kempen Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata pemilihan konglomerat media bagi mempromosikan sektor pelancongan itu bagi memastikan kempen berkenaan mencapai sasaran dalam menarik lebih ramai pelancong ke negeri itu pada tahun depan.

"Kita sudah berunding, sempena TMM2024 untuk melantik media rasmi bagi mempromosikan pelbagai aktiviti serta program sepanjang tahun depan.

"Kita bersetuju supaya Media Prima menjadi rakan media rasmi pada TMM2024.

"Selain acara kebudayaan dan kesenian, program keagamaan turut diadakan termasuk Program Melaka Berselawat kerana kita tidak lupa akar umbi kita berasaskan adab, adat, agama dan budaya," katanya.

Ab Rauf berkata, sebagai merancakkan acara tahun depan, kerajaan negeri akan melancarkan TMM2024 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur pada 14 Julai ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, kempen TMM2024 bakal mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MATC)

Sementara itu, sebanyak 64 program dan acara akan diadakan sehingga hujung tahun ini sebagai persiapan untuk merancakkan program TMM2024.

EXCO Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, 13 daripadanya adalah acara pelancongan utama bagi merancakkan aktiviti pelancongan di Melaka tahun depan.

Katanya, antara acara utama sepanjang tahun ini adalah Melaka International Muaythai pada 29 hingga 30 Julai serta Karnival Beca Melaka 2023 pada 1 dan 2 September di Banda Hilir.

"Ia diikuti Pertandingan Memancing dan Memasak Ikan Air Tawar di Sungai Melaka pada 3 September dan Karnival Udara Antarabangsa Melaka (KUAM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) pada 29 September hingga 3 Oktober," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2023 @ 6:01 PM