Dr Joohari (empat, kanan) bersama Rafizi (tiga, kanan) dan pemimpin parti dalam Kerajaan Perpaduan.  FOTO Bernama.
Dr Joohari (empat, kanan) bersama Rafizi (tiga, kanan) dan pemimpin parti dalam Kerajaan Perpaduan. FOTO Bernama.
Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Dr Joohari Ariffin yang diumum calon Kerajaan Perpaduan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap beriltizam menjadi orang baik dan menyebarkan kebaikan.

"Kita jadi orang baik, melaksanakan perkara yang baik dan saya juga akan cuba pastikan menjadi seorang calon yang baik

"Saya lebih tekankan akhlak dalam melaksanakan pekerjaan, oleh itu, sebarang usaha untuk merendahkan pihak lain, saya akan cuba jaga dan saya harap pihak sana (pihak lawan) sama juga (menjaga adab).

"Amanah yang diberi ini (menjadi calon) saya akan pikul dan akan bekerja lebih untuk rakyat (sekiranya diberi peluang menjadi wakil rakyat)," katanya kepada pemberita selepas diumumkan Calon Perpaduan oleh Pengarah Pilihan Raya Perpaduan yang juga Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, malam tadi.

Mengenai latar belakangnya, Joohari, 60, memaklumkan beliau anak jati Sungai Bakap yang merantau menimba ilmu, sebelum pulang menetap di Taman Ilmu, di sini.

"Walaupun saya dilahirkan di Permatang Pasir, Permatang Pauh tetapi saya membesar di kampung nenek saya di Sungai Bakap dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bakap.

"Kemudian saya melanjutkan pelajaran di Penang Free School sebelum ke Sekolah Menengah Panglima Bukit Gantang, Parit Buntar, Perak dan menyambung pengajian di Universiti Malaya dalam bidang Ekonomi dan Pengajian Islam.

"Saya juga mengambil Diploma Pendidikan (DPLI) yang di situ bermulanya karier saya sebagai seorang guru. Saya merantau dan kini bersedia menjadi wakil rakyat jika dipilih," katanya yang mempunyai ijazah kedoktoran (PhD) Universiti Sains Malaysia (USM).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 12:56 AM