Azam Baki (kiri) menganugerahkan Pemakaian Pangkat Kehormat dan penyerahan Watikah Pelantikan kepada Fadzli Adam di Dewan Perdana di Kuala Nerus semalam. FOTO IHSAN UNISZA
Azam Baki (kiri) menganugerahkan Pemakaian Pangkat Kehormat dan penyerahan Watikah Pelantikan kepada Fadzli Adam di Dewan Perdana di Kuala Nerus semalam. FOTO IHSAN UNISZA
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Nerus: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menjadi universiti awam (UA) pertama di Malaysia menawarkan kursus Kor Kadet Mahasiswa Sukarelawan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (Kor SUAR) kepada penuntutnya.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, cadangan menawarkan kursus berkredit kadet SPRM di institusi pengajian tinggi (IPT) adalah idea berani dikemukakan pihak UniSZA kepada SPRM.

"Penawaran kursus ini melengkapkan inisiatif pencegahan rasuah di peringkat IPT dan salah satunya ialah kewujudan kelab bersifat kesukarelawan penuntut iaitu Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) yang menggerakkan aktiviti pendidikan anti rasuah di dalam kampus untuk menyebarluaskan mesej anti rasuah di negara ini.

"Kini, diwujudkan pula kelab beruniform menawarkan kredit sebagai pelengkap syarat pengijazahan mahasiswa dan UniSZA menjadi universiti perintis di negara ini yang menawarkan kursus ini kepada penuntut," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Penubuhan Kor SUAR adalah salah satu bidang kerjasama di dalam memorandum persefahaman (MoU) dimeterai UniSZA dan SPRM.

MoU itu ditandatangani Naib Canselor UniSZA (Yang Menjalankan Fungsi), Prof Dr Fadzli Adam dan Pendaftar Ismail Musa yang mewakili UniSZA manakala SPRM diwakili Azam dan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat, Datuk Razim Mohd Noor dalam satu Majlis Penganugerahan Kehormat dan Surat Pelantikan serta MoU antara UniSZA dan SPRM di Dewan Perdana, di sini, semalam.

Azam berkata, mahasiswa yang mendaftar untuk mengikuti kursus itu diharap berfikiran positif, berjiwa kental dan meneruskan perjuangan sehingga hari pentauliahan kelak.

Beliau berkata, mahasiswa yang berjaya menamatkan sesi hingga ke semester empat akan ditauliahkan sebagai Pegawai Integriti Remaja Bertauliah.

Katanya, ia adalah nilai tambah kepada mereka apabila keluar untuk bersaing dalam mendapatkan pekerjaan nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 2:15 PM