Pengerusi UDA Holdings Berhad Datuk Norliza Abdul Rahim beramah mesra bersama usahawan pada Karnival UDA USHAniaga di Serambi Teruntum, Kuantan. - FOTO Asrol Awang
Pengerusi UDA Holdings Berhad Datuk Norliza Abdul Rahim beramah mesra bersama usahawan pada Karnival UDA USHAniaga di Serambi Teruntum, Kuantan. - FOTO Asrol Awang
Asrol Awang

PENERAJU pembangunan hartanah, pengurusan aset, fasiliti dan perhotelan, UDA Holdings Berhad (UDA) yang juga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus mempergiat aktiviti keusahawanan.

Ia dilaksanakan menerusi jelajah Karnival UDA USHAniaga di Serambi Teruntum, di sini selama tiga hari yang bermula kelmarin.

Karnival itu yang membabitkan penyertaan 117 usahawan dari pelbagai bidang dengan sasaran jualan sebanyak RM1.8 juta diyakini merancakkan lagi perniagaan serta sosio ekonomi tempatan.

Pengerusi UDA Holdings Berhad Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, inisiatif itu seiring dengan penjenamaan baharu UDA iaitu 'LIFE' yang menterjemahkan komitmen UDA dalam memperkasa gaya hidup lestari.

Katanya, UDA teruja dengan maklum balas yang positif daripada warga usahawan yang menyertai jelajah Karnival UDA.

"Kuantan adalah siri jelajah kelima dan terakhir tahun ini selepas berlangsung di empat lokasi sebelum ini iaitu di Odeon Walk, Kuala Lumpur; Pusat Komersial Tasek Gelugor, Pulau Pinang; Angsana Johor Bahru Mall, Johor dan Angsana Ipoh Mall, Perak.

"Menerusi jelajah Karnival UDA USHAniaga di empat lokasi sebelum ini, sebanyak 549 gerai jualan usahawan dibuka dengan penjanaan jualan sebanyak RM10.2 juta.

"Jumlah ini amat positif kerana ia melebihi sasaran awal UDA iaitu sebanyak 500 gerai jualan di semua lokasi.

"UDA berharap dapat meneruskan pencapaian yang memberangsangkan di Serambi Teruntum Kuantan ini seterusnya membantu mengembangkan potensi usahawan tempatan.

"Penganjuran karnival ini turut diharap dapat membudayakan aktiviti keusahawanan kepada generasi akan datang dan membuka peluang pekerjaan baharu seterusnya merapatkan jurang ekonomi masyarakat.

"Langkah proaktif UDA ini juga bagi memastikan golongan usahawan sentiasa berdaya saing dan berupaya untuk kelangsungan perniagaan terutama dalam persekitaran ekonomi negara yang kian pulih," katanya.

Norliza berkata demikianketika berucap pada Majlis Pelancaran Karnival UDA USHAniaga di Serambi Teruntum, di sini kelmarin.

Pada majlis itu, UDA turut menyempurnakan sumbangan zakat berjumlah RM20,000 kepada empat usahawan asnaf tempatan.

Sumbangan berkenaan diharap menjadi pemangkin dan semangat kepada usahawan terbabit meneruskan perniagaan mereka.

Menerusi cabang perniagaan hartanah, beliau berkata, UDA turut menganjurkan Kempen Hartanah UDA Ria 2022 bertemakan 'Sempurna untuk Semua Generasi secara serentak di semua jelajah Karnival UDA USHAniaga.

Katanya, kempen hartanah itu adalah pendekatan UDA untuk mendekati komuniti setempat serta membantu pembeli memilih hartanah idaman mereka menerusi enam karikatur komik yang menggambarkan karakter Generasi UDA.

"Pelbagai produk dan tawaran istimewa turut disediakan bagi membantu usahawan dan pelabur memiliki produk komersial seterusnya mengembangkan perniagaan mereka.

"Karnival UDA USHAniaga di Pahang ini turut menjadi platform kepada pengunjung khususnya usahawan untuk mendapatkan informasi dan meneroka peluang insentif bersesuaian di gerai pameran KUSKOP serta agensi di bawahnya.

"Ia membabitkan Bank Rakyat, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Institut Koperasi Malaysia (IKMA), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional, SME Bank Berhad (SME Bank), Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) dan SME Corporation Malaysia (SME Corp).

"Selain itu, UDA dengan kerjasama organisasi berkaitan keusahawanan seperti Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera (USAHANITA), Richworks International Sdn Bhd (RichWorks) serta organisasi sokongan seperti Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Ninja Van dan KRU turut bersama bagi memvariasikan barisan usahawan dan produk yang ditawarkan.

"UDA turut mengutamakan keterangkuman dengan menampilkan usahawan orang kurang upaya (OKU) dan usahawan selebriti di karnival ini.

"Pelbagai aktiviti menarik disediakan sepanjang program antaranya pameran dan jualan dari setiap segmen perniagaan UDA, ceramah berkaitan kewangan kelolaan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Majlis Perancangan Kewangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Disember 2022 @ 1:43 PM