ANWAR (tengah) menunjukkan dokumen peruntukan yang diluluskan kerajaan kepada Saifuddin. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ANWAR (tengah) menunjukkan dokumen peruntukan yang diluluskan kerajaan kepada Saifuddin. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Kulim: Kerajaan mengumumkan peruntukan berjumlah RM150 juta bagi tujuan penyelenggaraan dan naik taraf infrastruktur di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Penjara di seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah itu adalah tambahan kepada peruntukan pembangunan berjumlah RM200 juta yang disalurkan melalui Belanjawan 2023 untuk penyelenggaraan fasiliti kuarters beberapa agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, peruntukan tambahan RM150 juta terbabit dirancang disalurkan tahun hadapan, namun beliau menyegerakannya selepas melihat sendiri dan menilai laporan mengenai keadaan fasiliti serta infrastruktur terbabit.

Katanya, untuk kerja-kerja penyelenggaraan kuarters PDRM termasuk ibu pejabat, beliau meluluskan peruntukan berjumlah RM50 juta manakala RM45 juta lagi diluluskan khusus untuk penambahan dan naik taraf, serta perolehan peralatan 117 pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA).

"Saya luluskan RM45 juta bagi PGA itu segera dan apabila saya kata segera, maknanya hari Isnin ini wang mesti disalurkan dan saya akan bincang dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi mempercepatkan projek terbabit.

"Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM) itu pula tempat orang bertarung nyawa tetapi pejabat sementaranya hanya rumah kedai dan berselerak. Jadi saya luluskan RM40 juta untuk infrastruktur dan fasiliti berkaitan ESSCOM.

"Bagi kerja pembaikan kuarters dan kemudahan Jabatan Penjara, saya luluskan peruntukan RM15 juta," katanya ketika menyampaikan ucapan dalam Program Malaysia Madani Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam PDRM di PGA Kulim di sini, hari ini.

Anwar berkata, kali terakhir projek perumahan secara besar-besaran sebegini diteliti ketika beliau menjadi Menteri Kewangan dahulu.

Mengulas mengenai infrastruktur serta kemudahan yang terbiar selama puluhan tahun, beliau berkata ia tidak sepatutnya berlaku kerana anggota keselamatan berjuang mempertahankan negara.

"Apa salahnya dan di mana kelemahannya? Adakah benar kita tiada wang atau ada kelemahan besar, ketirisan, penyelewengan dan rasuah berbilion ringgit?

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2023 @ 8:55 PM