Menteri Pengangkutan, Anthony Loke ketika hadir Majlis Penyempurnaan Span Menghubungkan Johor Bahru dan Singapura bagi Projek RTS Link di Tapak Marin Projek RTS Link, Jalan Ismail Sultan, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke ketika hadir Majlis Penyempurnaan Span Menghubungkan Johor Bahru dan Singapura bagi Projek RTS Link di Tapak Marin Projek RTS Link, Jalan Ismail Sultan, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Oleh Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Kerajaan yakin projek mega, RTS Link Malaysia-Singapura akan siap mengikut perancangan yang dijadualkan dan beroperasi tepat pada 1 Januari 2027.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, pelaksanaan projek itu berjalan lancar dengan jajaran jejambat marin antara Johor Bahru dan Singapura sudah berjaya dihubungkan.

"Bagi jejambat marin yang dilancarkan hari ini, ia menunjukkan perkembangan baik dengan kini sebanyak 68 peratus kerja pembinaan sudah selesai.

"Pembinaan jejambat darat pula yang dimulakan pada 22 Mac tahun lalu, juga berjalan lancar dan kini kemajuannya adalah pada tahap 31 peratus.

"Bagi kawasan stesen, ia juga sudah siap 41 peratus, manakala pembinaan bangunan CIQ (Kastam, Imigresen dan Kuarantin) yang dimulakan 11 Oktober 2023, kerja-kerja pemasangan cerucuk sudah siap dan kemajuan kerja itu mencecah 3.22 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyempurnaan Span Menghubungkan Johor Bahru dan Singapura bagi Projek RTS Link di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong.

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura Chee Hong Tat.

Sementara itu, Hong Tat berkata, bagi pihak republik itu, perkembangan projek mega berkenaan sudah siap dua pertiga dengan fasa utama seterusnya membabitkan kerja sivil, pengujian sistem rel dan 'signal'.

Pada majlis itu, kedua-dua Perdana Menteri menandatangani plak sebagai simbolik pelancaran penyempurnaan span itu yang membabitkan titik pertemuan jejambat laut projek berkenaan antara Johor Bahru dan Singapura.

RTS Link adalah projek laluan kereta api ulang alik sepanjang kira-kira empat kilometer dengan dua stesen, satu di Bukit Chagar di Johor Bahru dan satu lagi di Woodlands North, Singapura.

MRT Corp dipertanggungjawab membangunkan bahagian Malaysia sepanjang 2.7 kilometer (km) bagi rangkaian rel dan struktur diperlukan yang mana operasi itu akan dijalankan secara bersama dengan Prasarana Malaysia Bhd dan SMRT Corp Ltd dari Singapura.

Apabila siap kelak, RTS Link akan menjadi jambatan darat ketiga ke Singapura dan dijangka dapat mengurangkan lagi kesesakan teruk yang sentiasa dialami di Tambak Johor.

Dalam perkembangan lain, Siew Fook berkata, Malaysia dan Singapura perlu berbincang lebih lanjut untuk mewujudkan lebih banyak rangkaian pengangkutan antara Johor Bahru dan republik itu.

Katanya, ia termasuk cadangan mewujudkan perkhidmatan feri dari Johor ke Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2024 @ 12:54 PM