SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah bersama Lee Hsien Loong dan Ho Ching. FOTO Ihsan RPO
SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah bersama Lee Hsien Loong dan Ho Ching. FOTO Ihsan RPO
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, bertitah lawatan rasmi tiga hari baginda ke Singapura yang bermula hari ini akan mengukuhkan lagi hubungan antara negeri ini dengan republik itu.

Sultan Ibrahim menerusi muat naik di akaun Facebook rasmi baginda bertitah, lawatan rasmi itu juga akan membawa manfaat melalui kerjasama ekonomi demi kepentingan rakyat.

"Adalah besar harapan saya bahawa lawatan ini akan mengeratkan lagi hubungan dan meningkatkan kerjasama secara berterusan demi kesejahteraan rakyat kedua-dua pihak," titah baginda dalam muat naik itu.

Terdahulu, baginda berkenan berangkat ke majlis santapan tengah hari yang dianjurkan oleh Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong di Istana, sempena lawatan rasmi baginda ke republik itu.

Berangkat sama mengiringi baginda, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

Turut berangkat, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri Che' Puan Besar Khaleeda Bustamam.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri Singapura, Ho Ching; Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dan Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani.

Sementara itu, Sultan Ibrahim ketika majlis santapan bertitah, baginda turut berbesar hati di atas jemputan rasmi ini daripada Perdana Menteri Singapura, malah baginda menghargai kepemimpinan, visi serta aspirasi beliau dalam memajukan dan memakmurkan negara itu.

"Kerjasama selama bertahun-tahun dan persefahaman erat dengan Singapura dalam pelbagai aspek memberi manfaat kepada Johor terutama dalam pembangunan sosio-ekonominya. Saya juga mendoakan kesihatan anda (Hsien Loong) yang baik serta Singapura yang makmur dan sejahtera," titah baginda.

Di dalam ucapannya, Hsien Loong turut memberi penghormatan kepada persahabatan Johor dan Singapura yang terjalin sekian lama, serta turut bersedia untuk terus mengukuhkan kerjasama.

"Saya yakin dengan sokongan Tuanku, hubungan Singapura dan Johor akan terus terpelihara dengan kukuh," katanya.

Dalam pada itu, Singapura menamakan satu spesis hibrid orkid - Dendrobium Ibrahim Zarith - bersempena dengan Sultan Ibrahim dan Permaisuri Johor.

Taman Botani Singapura mempersembahkan orkid itu kepada baginda berdua bersempena lawatan rasmi tiga hari ke republik itu di Istana.

Orkid Dendrobium Ibrahim Zarith adalah spesis yang teguh dan berwarna oren, kuning serta dihiasi secara semula jadi dengan garisan putih.

Bunga berkenaan akan dipamerkan di Laman Orkid VIP di Taman Botani Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2022 @ 4:16 PM