Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Siapa yang dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-19 terjawab apabila cicit kepada Pengasas dan Presiden Umno, Datuk Onn Jaafar iaitu Datuk Onn Hafiz Ghazi mengangkat sumpah memegang jawatan itu hari ini.

Beliau mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar kira-kira jam 3 petang tadi.

Berangkat sama, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad.

Onn Hafiz adalah Naib Ketua Bahagian UMNO Simpang Renggam, yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu lalu, dengan majoriti 6,543 undi.

Beliau menggantikan Hasni yang dilantik sebagai Menteri Besar ke-18 pada 28 Februari 2020.

Terdahulu, Onn Hafiz menerima surat tauliah pelantikan dan melafazkan sumpah menyandang jawatan dalam Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor, yang berlangsung di Balai Mengadap Istana Bukit Serene, di sini.

Onn Hafiz yang memenangi kerusi DUN Layang-Layang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) adalah muka baharu yang dilantik ke barisan EXCO Makmur Johor selepas Hasni dilantik sebagai Menteri Besar.

Onn sebelum ini memegang portfolio Pelancongan, Belia Dan Sukan selain aktif dalam advokasi orang muda termasuk menerusi pertubuhan bukan kerajaan Southern Volunteers yang ditubuhkan hasil visi Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Onn Hafiz juga adalah anak saudara kepada Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang juga Menteri Kanan Pertahanan.

Beliau adalah pemimpin dari generasi kelima yang terbabit dalam politik.

Onn Hafiz adalah piut kepada Menteri Besar Johor dalam era moden yang pertama, Jaafar Haji Muhammad (1838-1919) yang memimpin Johor dari 1886 hingga 1919.

Jaafar Haji Muhammad adalah seorang daripada yang merangka Undang-Undang Tubuh Negeri 1895, perlembagaan bertulis tertua di negara ini.

Undang-Undang Tubuh Negeri 1895 ini menjadi asas kepada semua undang-undang tubuh di negeri-negeri lain dan Perlembagaan Persekutuan yang diasaskan pada tahun 1948.

Moyangnya, Datuk Onn Jaafar, adalah Menteri Besar Johor yang ketujuh dan juga mengasaskan parti UMNO.

Dua abang Onn Jaafar juga pernah menjawat jawatan Menteri Besar ketiga dan keempat iaitu Abdullah Jaafar (1875-1934), yang memimpin negeri dari 1923 hingga 1928, dan Mustapha Jaafar (1862-1946) dari 1928 hingga 1931.

Datuknya, Tun Hussein Onn adalah Perdana Menteri Malaysia ketiga serta pernah menjawat jawatan Menteri Kewangan, Pendidikan, dan Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2022 @ 4:01 PM
SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar perkenan melantik Onn Hafiz sebagai Menteri Besar Johor ke-19. FOTO FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar perkenan melantik Onn Hafiz sebagai Menteri Besar Johor ke-19. FOTO FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar