ANGGOTA KPDN menyerbu kilang cili kisar di Kawasan Perindustrian Silibin selepas disyaki menggunakan logo halal yang tidak sah. Foto Ihsan KPDN Perak
ANGGOTA KPDN menyerbu kilang cili kisar di Kawasan Perindustrian Silibin selepas disyaki menggunakan logo halal yang tidak sah. Foto Ihsan KPDN Perak
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu kilang memproses cili kisar di Kawasan Perindustrian Silibin, di sini, semalam selepas disyaki menggunakan logo halal tidak sah.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, dalam operasi 10.30 pagi, lelaki tempatan berusia 60-an dipercayai pemilik premis gagal mengemukakan sebarang perakuan halal.

Menurutnya, pihaknya menyita cili kisar disyaki menggunakan logo halal tidak sah, plastik pembungkus tertera logo halal, barangan pembungkusan dan lain-lain dokumen untuk siasatan lanjut.

Katanya, nilai keseluruhan barang rampasan berjumlah RM43,185.80.

"Satu perintah tutup premis juga dikenakan ke atas kilang itu kerana didapati tidak mencapai piawaian yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dari segi kebersihan.

"Kes disiasat mengikut Subperenggan 4 (1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 Akta Perihal Dagangan 2011 yang menjadi kesalahan di bawah Subperenggan 8 (a) perintah sama," katanya.

Katanya, sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu, manakala denda tidak melebihi RM250,000 bagi syarikat atau pertubuhan perbadanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2024 @ 4:46 PM