KPDN merampas produk makanan ringan popular berupa keropok kulit salmon perisa telur masin. FOTO ihsan Perak
KPDN merampas produk makanan ringan popular berupa keropok kulit salmon perisa telur masin. FOTO ihsan Perak
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas produk makanan ringan popular keropok kulit salmon perisa telur masin menggunakan logo halal tidak sah selepas menyerbu sebuah premis di Kawasan Perindustrian Jelapang di sini, semalam.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata serbuan jam 11 pagi itu hasil maklumat awam dan risikan pihaknya berhubung aktiviti memproses makanan produk makanan yang disyaki menggunakan logo halal tidak sah.

Katanya, semakan awal mendapati logo halal digunakan untuk tujuan perdagangan secara tidak sah. Pengurus premis turut gagal mengemukakan sebarang perakuan halal yang diperakui pihak berkuasa, apabila diminta.

"Sehubungan itu, tindakan menyita semua produk yang disyaki menggunakan logo halal tidak sah itu dilakukan, Turut disita dokumen perniagaan untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, keseluruhan barang rampasan dianggarkan berjumlah RM88,582.50 dengan kes disiasat kerana melanggar Subperenggan 4 (1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 Akta Perihal Dagangan 2011.

Jika sabit kesalahan, denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu, manakala denda tidak melebihi RM250,000 bagi syarikat atau pertubuhan perbadanan.

"Produk makanan ringan ini dijual secara dalam talian dan mendapat sambutan oleh ramai pengguna. Justeru KPDN menasihati dab menyeru setiap peniaga dan pengusaha supaya mematuhi perundangan yang berkuatkuasa termasuk mendapatkan perakuan halal sah daripada agensi kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2024 @ 12:51 PM