PEGAWAI penguat kuasa KPDN dan JHEAINS melakukan pemeriksaan di sebuah kilang membungkus mi di Senawang. FOTO ihsan KPDN
PEGAWAI penguat kuasa KPDN dan JHEAINS melakukan pemeriksaan di sebuah kilang membungkus mi di Senawang. FOTO ihsan KPDN
Ahmad Hasbi


Seremban: Meskipun sijil perakuan halal sudah tamat tempoh kira-kira 16 bulan lalu, sebuah kilang memproses mi kuning masih menggunakan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada label produk berkenaan.

Premis yang terletak di Senawang, di sini, diserbu pihak berkuasa kira-kira jam 1 tengah hari semalam, hasil pemerhatian dan risikan selama seminggu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, dalam serbuan itu, sebanyak empat bungkus mi dan dua guni plastik pembungkus dirampas.

"Pasukan pegawai penguat kuasa kami bersama pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) menjalankan operasi penguatkuasaan halal di sebuah premis di Senawang.

"Premis iaitu sebuah kilang membungkus mi disyaki menggunakan logo halal Jakim pada produk makanan tanpa mendapat perakuan halal yang sah daripada pihak JHEAINS.

"Tindakan ini adalah hasil daripada pemantauan yang dibuat oleh pihak KPDN Negeri Sembilan dan JHEAINS selama seminggu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati, sijil pengesahan halal untuk produk yang dimiliki perniagaan itu tamat tempoh pada 31 Ogos 2021.

"Namun, logo halal Jakim masih digunakan pada paket pembungkusan produk keluaran perniagaan ini.

"Sebanyak empat bungkus mee kuning serta dua guni plastik pembungkus produk perniagaan ini yang disyaki menggunakan logo halal tanpa mendapat perakuan halal sah daripada pihak berkuasa disita dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM111.20.

"Kesemua barangan disita mengikut Peraturan 8 (b) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, Akta Perihal Dagangan 2011 kerana melanggar Peraturan 4 (1)(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, Akta Perihal Dagangan 2011," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan terus menjalankan operasi ke atas mana-mana pihak yang didapati menggunakan logo halal pada produk makanan dan barangan tanpa mendapat perakuan halal yang sah daripada pihak berkuasa berwibawa iaitu Jakim dan JHEAINS.

"Oleh itu, peniaga dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang dan peraturan yang dikuatkuasakan KPDN dalam menjalankan perniagaan dan perdagangan masing-masing.

"Pengguna di Negeri Sembilan boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan peniaga yang tidak mematuhi undang-undang kepada pihak kementerian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2023 @ 3:11 PM