TERTUDUH Muhammad Sani dikawal rapi ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Muar atas pertuduhan mengikut Akt SOSMA. FOTO Alias Abd Rani
TERTUDUH Muhammad Sani dikawal rapi ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Muar atas pertuduhan mengikut Akt SOSMA. FOTO Alias Abd Rani
Alias Abd Rani


Muar: Pekerja kebun yang dua kali dipenjara mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini mengikut akta sama kerana memiliki dan menyokong Negara Islam (IS), sejak tahun lalu.

Tertuduh Muhammad Sani Mahdi Sahar, 31, yang pernah disabitkan di bawah SOSMA pada 2015 dan 2017, hanya berdiam diri sejurus tiga pertuduhan dikemukakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh memandangkan kes mengikut Akta SOSMA di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan pertama, bapa kepada seorang anak didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas IS dengan cara menggunakan Facebook atas nama Abu Ibrahim yang kemudiannya ditukar kepada nama 'Oyen Ucuk'.

Perbuatan itu dilakukan di Bahagian E8 Counter Terrorism Cawangan Khas, Tingkat 24 Menara 2 Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, 9 pagi, 19 Disember 2023.

Oleh itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 130J (1) (a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah peruntukan yang sama.

Hukuman bagi kesalahan ini adalah, dia boleh dipenjara sehingga 40 tahun atau denda, dan harta digunakan dalam melakukan kesalahan itu boleh dirampas.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki item iaitu tiga gambar dikaburkan dengan keterangan gambar menyatakan individu terbabit berbai'ah kepada Abu Hafsah Al-Hasimi Al-Quroshi yang juga pemimpin IS kelima di Facebook miliknya yang menggunakan nama sama.

Mengikut pertuduhan ketiga, dia didakwa memiliki gambar program memperingati insiden militan yang berkait dengan IS yang menawan suatu kawasan di Mozambique pada 2020 juga di Facebook sama.

Semua kejadian itu berlaku di lokasi sama pada 8 malam, 26 Mac dan 9.16 malam, 30 April lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan ini, dia didakwa mengikut Seksyen 130JB (1) (a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut peruntukan sama iaitu penjara sehingga tujuh tahun manakala harta digunakan dalam melakukan kesalahan itu boleh dirampas.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim dan Siti Hajar Mat Radzi manakala tertuduh diwakili peguam Nurain Sakina Zakri.

Mahkamah tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 30 Julai ini untuk sebutan semula bagi laporan forensik dan juga permohonan izin ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Sementara itu, kawalan ketat di perkarangan Kompleks Mahkamah Muar dengan setiap pengunjung menjalani pemeriksaan serta merekodkan kehadiran masing-masing.

Pada Mac 2016, tertuduh juga bekas pengajar al-Quran dipenjara 18 bulan selepas dia mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana memiliki 30 video berkaitan pengganas.

Dua tahun kemudian iaitu Julai 2018, mahkamah sama menjatuhkan hukuman penjara enam tahun terhadap tertuduh atas tiga pertuduhan memiliki item berkaitan kumpulan pengganas Daesh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 12:09 PM