AZLEE (dua kanan) bersama Ahmad Kamil (tiga kanan) diiringi anggota polis ke Mahkamah Majistret Kangar. FOTO Amran Hamid
AZLEE (dua kanan) bersama Ahmad Kamil (tiga kanan) diiringi anggota polis ke Mahkamah Majistret Kangar. FOTO Amran Hamid
Oleh Aizat Sharif

 

Kangar: Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kangar hari ini atas pertuduhan memiliki bahan berkaitan kumpulan militan Negara Islam (IS) pada bulan lalu.

Tertuduh, pereka hiasan dalaman, Azlee Md Salleh, 30, dan Ahmad Kamil Ghazali, 24, yang bertugas di Hospital Tuanku Fauziah Kangar sebagai juruimbas X-Ray dibawa ke Kompleks Mahkamah Kangar pada 12.15 tengah hari tadi.

Kedua-dua tertuduh hanya mengangguk faham selepas kertas pertuduhan dibacakan oleh Timbalan Pendakwaraya Nisla Abdul Latif dihadapan Pendaftar Mahkamah Monica Joseph Gaisah.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan dan jaminan tidak ditawarkan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Azlee didakwa memiliki telefon bimbit yang mengandungi bahan yang berkaitan kumpulan pengganas IS iaitu gambar bendera kumpulan pengganas Islamic State pada 19 Ogos lalu, 8.30 pagi di rumah di Taman Ira, Kangar, Perlis.

Manakala Ahmad Kamil pula didakwa memiliki penerbitan yang mempunyai kaitan dengan kumpulan IS pada tarikh yang sama, 7.50 pagi di hadapan Kompleks Pentadbiran Taman Kechor, Kangar.

Dakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 30 September ini untuk sebutan semula bagi kedua-dua kes sebelum ianya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk proses perbicaraan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2015 @ 2:22 PM