LAPORAN Harian Metro hari ini
LAPORAN Harian Metro hari ini
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Petaling Jaya: Dua pelajar lelaki ditahan kerana disyaki membaling batu ke arah bas yang membawa penyokong pasukan Perak FC di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 8.49 malam.

"Siasatan mendapati kejadian berlaku terhadap bas membawa penyokong sebuah kelab bola sepak selepas selesai menyaksikan perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini.

"Ketika dalam perjalanan menuju ke arah utara, dua lelaki tempatan yang menunggang motosikal bertindak membaling batu ke arah bas terbabit.

"Salah seorang suspek berkenaan adalah pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) manakala rakannya seorang pelajar di sebuah institut pengajian vokasional," katanya

"Kedua-dua suspek berusia 17 dan 20 tahun berjaya ditahan oleh penumpang bas terbabit lalu diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrulnizam berkata, bas berkenaan mengalami keretakan di beberapa bahagian cermin.

"Semakan rekod lampau mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau dan kedua-dua mereka direman tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

"Ujian saringan awal air kencing juga mendapati kedua-dua suspek negatif penggunaan dadah dan alkohol," katanya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan kecoh di media sosial apabila terdapat dakwaan insiden membabitkan penyokong Selangor FC dan Perak FC di sebuah stesen minyak di Lebugraya NKVE, di sini malam tadi.

Insiden terbabit berlaku selepas tamatnya perlawanan Liga Super membabitkan Selangor FC bertemu Perak FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan keputusan memihak tuan rumah 2-1.

Berdasarkan klip video yang viral di akaun X mendakwa bahawa sekumpulan penyokong skuad The Bos Gaurus (TBG) bertindak mengheret seorang peminat Selangor FC.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2024 @ 4:47 PM