Zatul Iffah Zolkiply

SUAMI isteri ditahan selepas disyaki menjadikan rumah sewa mereka sebagai pusat pelacuran, di Jalan Cerung Lanjut, Kuala Terengganu, semalam.

Dalam serbuan jam 10.40 malam itu, polis turut menahan dua wanita warga Thailand berusia 21 dan 32 tahun dipercayai menawarkan khidmat seks.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Superitendan Suffian Sulaiman berkata, serbuan selepas pihaknya menerima maklumat risikan bahawa terdapat kegiatan pelacuran di premis berkenaan.

Beliau berkata, pihak terbabit dipercayai menggunakan aplikasi WeChat bagi mempromosikan khidmat seks dengan bayaran RM250 untuk sejam.

“Siasatan mendapati suspek lelaki berusia 44 tahun itu, bertanggungjawab mencari pelanggan menerusi WeChat, manakala isterinya yang berusia 48 tahun pula menguruskan tempat pelacuran.

“Hasil soal siasat, ada antara pelacur itu mampu meraih pendapatan sehingga RM3,000, satu malam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas pelbagai barangan seperti kondom, minyak urut, telefon bimbit dan wang tunai RM3,000 dipercayai hasil kegiatan tidak bermoral itu.

Katanya, siasatan juga mendapati wanita warga asing itu memasuki negara dengan menggunakan pas lawatan sosial.

“Bagaimanapun, kita masih menjalankan siasatan lanjut dan semua suspek direman tujuh hari sehingga Sabtu depan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan (KK) kerana menyalahguna mana-mana orang bagi tujuan persundalan dan Seksyen 372BKK kerana mencari langganan bagi maksud persundalan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Oktober 2018 @ 6:57 PM