TANGKAP layar menunjukkan individu yang melempar kucing di  sebuah lombong dipercayai dekat Johor. FOTO Ihsan Animal Malaysia
TANGKAP layar menunjukkan individu yang melempar kucing di sebuah lombong dipercayai dekat Johor. FOTO Ihsan Animal Malaysia
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Persatuan Haiwan Malaysia (Animal Malaysia) memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan pelaku yang melempar kucing ke dalam lombong dipercayai di sebuah lokasi di Johor.

Presiden Animal Malaysia, Arie Dwi Andika berkata, pihaknya menerima aduan berhubung insiden itu tadi dan sedih dengan nasib yang menimpa kucing berkenaan.

Katanya, tindakan pelaku itu amat keterlaluan dan tidak boleh dimaafkan.

"Perbuatan pelaku itu boleh menyebabkan kucing itu mati lemas atau dimakan ikan pemangsa.

"Bagi pihak persatuan, saya kesal kerana masih ada lagi individu tergamak melakukannya dan diharap pelaku itu diheret ke muka pengadilan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Arie, video dikirimkan pengadu itu menunjukkan dua individu berada di kawasan lombong berkenaan.

"Salah seorang mereka dilihat melempar kucing berkenaan manakala rakannya di sebelah hanya menyaksikan tindakan kejam itu.

"Saksi kejadian atau mereka yang mengenali pelaku terbabit atau rakannya diharap dapat menyalurkan maklumat ke WhatsApp di talian 016-6345464.

"Maklumat itu akan dipanjangkan kepada pihak berkuasa dan Animal Malaysia tawarkan ganjaran RM2,000 kepada mereka yang berjaya menjejaki pelaku terbabit hingga didakwa dan dijatuhkan hukuman setimpal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Mei 2021 @ 2:36 PM