KANAK-KANAK lelaki itu memeluk jasad ibunya ketika memberikan penghormatan terakhir. FOTO tangkap layar video Ashraf Amra
KANAK-KANAK lelaki itu memeluk jasad ibunya ketika memberikan penghormatan terakhir. FOTO tangkap layar video Ashraf Amra
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Tangisan anak kecil Gaza di bumi Palestin yang merintih pilu kerana kehilangan ibunya amat meruntun hati.

Apakan tidak, kanak-kanak itu menangis kerana berat melepaskan pemergian ahli keluarga terakhirnya.

Berdasarkan video tular, seorang kanak-kanak lelaki dilihat menangis dalam dakapan seorang wanita yang cuba mententeramkan anak itu.

Tubuh dan dahi anak itu kelihatan turut berbalut kerana kecederaan dialaminya dipercayai menjadi mangsa serangan tentera Israel.

"Mak saya… macam mana saya nak hidup tanpa mak. Dia satu-satunya keluarga yang saya ada. Saya mahu mati," katanya sambil menangis.

Rintihan anak kecil itu meraih lebih 45,600 tanda suka selain lebih 2,400 komen warganet seluruh dunia yang bersimpati dengan nasib dialami kanak-kanak berkenaan.

Menjengah di ruangan komen, segelintir netizen memberitahu, individu yang cuba menenangkan kanak-kanak itu adalah wanita sama yang pernah kehilangan anak sebelum ini.

"Saya percaya wanita ini, orang sama yang hilang anaknya.

"Dengan hati masih remuk, wanita ini cuba menenangkan anak kecil ini. Susah nak percaya apa yang mereka lalui," kata savannah_realestate.

Perkara itu turut disahkan beberapa netizen yang mengenali wanita itu.

"Ya, wanita ini sudah bekerja untuk anak yatim," kata desai.razia.

Dalam perkongsian berasingan, kanak-kanak lelaki itu juga cuba ditenangkan individu sekelilingnya ketika memberi penghormatan terakhir kepada ibunya.

Dia dilihat gagal mengawal emosi apabila memeluk jasad kaku ibunya yang sudah dikafankan sebelum ditenangkan dua wanita di sisinya.

Dalam pada itu, Ahmad Hamdymadi, 11, berkata dia dan keluarga sudah 14 kali berpindah-randah bagi menyelamatkan diri.

"Rumah kami habis musnah. Kami hilang semuanya, kawan, kerja, duit dan memori. Sekarang kami duduk dalam khemah di Rafah berdepan pula dengan kebuluran dan penyakit serta bom bertalu-talu.

"Saya menulis ini dengan linangan air mata dan takut kehilangan keluarga kerana keadaan semakin teruk.

"Masa makin suntuk, tolong ingat kami dan hentikan perang ini," tulisnya di Instagram.

Sebelum ini, Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Mediterranean mendakwa, lebih 25,000 kanak-kanak menjadi yatim piatu akibat kehilangan satu atau kedua-dua ibu bapa mereka dalam serangan Israel bermula 7 Oktober lalu.

Malah, Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) juga merekodkan lebih 50,000 kanak-kanak di Gaza memerlukan rawatan perubatan segera kerana kekurangan zat makanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2024 @ 2:01 PM