SHAM menangis ketika ditemui The Palestine Chronicle  di kem pelarian Nuseirat. FOTO The Palestine Chronicle
SHAM menangis ketika ditemui The Palestine Chronicle di kem pelarian Nuseirat. FOTO The Palestine Chronicle
Agensi

Bandaraya Gaza: "Mereka (tentera zionis) membunuh ayah saya," luah kanak-kanak ini menangis sambil menggosok luka akibat melecur di muka dengan tangannya yang patah, ketika ditemui The Palestine Chronicle di kem pelarian Nuseirat di tengah Gaza, pada Ahad.

Sham al-Tawil, 7, kehilangan ibu bapa dan kakaknya selepas kediaman mereka dibedil tentera rejim zionis 23 November lalu. Sham satu-satunya dalam keluarga itu yang terselamat.

Ketika melawat Sham, wartawan The Palestine Chronicle ditemani ibu saudara kanak-kanak itu yang berulang kali menenangkannya kerana kerap menangis meratapi kehilangan ibu bapanya.

"Sudah...berhenti (menangis), jangan sentuh luka melecur di muka kamu," pujuk ibu saudaranya.

"Daripada Allah kita datang dan kepada Allah kita kembali," kata wanita itu lagi menenangkan Sham.

Di kem pelarian Nuseirat, selain Sham, ramai lagi kanak-kanak yang senasib dengannya menjadi yatim piatu, cacat dan ada yang sedang nazak akibat serangan tentera Israel.

Ibu yang cedera menjaga anak cedera juga pemandangan biasa di kem pelarian itu dengan bantuan ubat-ubatan yang sangat sedikit.

Menceritakan kejadian yang menimpa keluarga Sham, ibu saudara kepada kanak-kanak itu berkata, kediaman keluarga mereka dibedil tentera Israel sehari sebelum gencatan senjata.

"Abang saya syahid, bersama isteri dan anak perempuannya. Adik saya juga syahid.

"Kami ketika itu sedang tidur. Kami semua terjaga apabila terdengar letupan. Semua orang di rumah itu ada yang terbunuh dan cedera. Empat mati syahid.

"Apa yang kami lakukan untuk menerima (pembunuhan) ini?" katanya.

Menurut wanita itu, dia akan menjaga Sham kerana hanya kanak-kanak itu sahaja yang terselamat daripada keluarganya.

"Saya akan menjaganya bersama datuk dan neneknya yang terselamat."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 1:58 PM