ABU Umrah mencium bayinya yang terkorban tidak sampai 48 jam selepas dilahirkan. FOTO saleh_aljafarawi.
ABU Umrah mencium bayinya yang terkorban tidak sampai 48 jam selepas dilahirkan. FOTO saleh_aljafarawi.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Sijil kelahirannya belum siap dicetak, namun nama bayi ini yang usianya baru mencecah kurang dua hari, tercatat dalam sijil kematian selepas dia terbunuh akibat kekejaman rejim Zionis di Semenanjung Gaza, Palestin.

Kisah pilu ini dizahirkan seorang bapa, Abu Umrah apabila bayi lelakinya, Yahea meninggal dunia tidak sampai 48 jam dilahirkan selepas rejim Zionis membedil kediaman mereka di Deir al-Balah, semalam.

Katanya, nyawa bayinya yang cedera itu mungkin boleh diselamatkan jika rejim Zionis itu membenarkan mereka keluar ke sempadan Rafah bagi mendapatkan rawatan lanjut selepas hampir semua hospital tidak boleh beroperasi lagi.

"Sijil kelahirannya belum dicetak ya Allah (tetapi) sekarang dia sudah ada sijil kematian!

"Tengok dunia, ini Yahea! Lihatlah pemimpin dunia kerana kami memerlukan anda (bertindak) mengeluarkannya (dari Gaza) untuk pembedahan.

"(Tetapi) Dia tidak dapat bertahan dan belum berumur 48 jam. Dia meninggal dunia, dia syahid. (Akan jadi) Salah satu burung di Syurga Insya-Allah," rintihnya dalam rakaman video, saleh_aljafarawi.

Sementara itu, kanak-kanak lelaki, Ibrahim Dahouk meratapi kehilangan tangan kanannya yang terputus dalam satu serangan udara dilancarkan Israel yang turut mengorbankan dua sepupunya.

"Pulangkan balik tangan saya. Doktor beritahu, saya perlu keluar cepat dari Gaza untuk dapatkan rawatan lanjut dan tangan palsu," katanya sambil menangis.

Dalam linangan air mata, kanak -kanak itu merayu supaya tragedi hitam yang menimpa tanah airnya itu segera ditamatkan.

"Hentikan segera pembunuhan beramai-ramai ini. Apa yang saya mahukan dalam hidup ini cuma rumah kami serta dapat hidup dan berjalan bebas macam biasa," katanya dalam video perkongsian Hani Abu Rezeq.

Keperitan sama turut diluahkan seorang kanak-kanak perempuan yang kehilangan seluruh ahli keluarganya selepas tentera Israel mengebom tempat tinggalnya di kem Nusseirat, tengah Gaza, Jumaat lalu.

"Saya dah tak ada sesiapa lagi. Kenapa ini berlaku? Kenapa Israel bom kami dan tak tinggalkan Palestin lagi?" katanya sambil menangis.

Perkongsian tular ini antara penderitaan dialami penduduk Palestin termasuk anak-anak kecil yang menjadi mangsa pengeboman Israel setiap hari dalam konflik perang yang memasuki hari ke-46.

Dengan pelbagai akses disekat dan operasi hospital lumpuh, menyukarkan lagi mangsa cedera dan terputus anggota badan ini mendapatkan rawatan sekali gus berdepan risiko kematian dan kesakitan yang tidak dapat dibendung.

Setakat ini, Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) merekodkan, 70 peratus daripada mangsa terkorban di Gaza membabitkan kanak-kanak dan wanita.

Secara keseluruhannya, konflik ini menyaksikan lebih 13,500 penduduk Semenanjung Gaza dan Tebing Barat terkorban dengan lebih 5,500 kanak-kanak termasuk 3,000 pelajar meninggal dunia.

Selain itu, lebih 30,000 penduduk cedera dengan 80 peratus daripadanya kanak-kanak dan wanita manakala kira-kira 1,800 kanak-kanak lagi dilaporkan masih hilang.

Pada masa sama, Agensi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) pula merekodkan, 1.7 juta penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal sejak pencerobohan rejim Zionis ke atas wilayah itu, 7 Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 5:04 PM