Beberapa hari lalu penulis berpeluang mengikuti kursus bahasa Melayu anjuran Media Prima Berhad (MPB) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Peluang ini disambut dengan tangan terbuka kerana ia sangat relevan dengan rutin harian penulis yang sentiasa ‘bermain’ bahasa.

Sekurang-kurangnya dapatlah ‘mengulang kaji’ bahasa Melayu dan mengikuti kelas bahasa kebangsaan itu secara formal selepas lebih dua dekad tidak berbuat demikian.

Lebih menarik, si penceramah iaitu seorang pegawai atasan Kementerian Pendidikan yang dijemput DBP berjaya menyampaikan pembelajaran menerusi cara santai, bersahaja tapi efektif. Maklumlah beliau berpengalaman luas sebagai guru bahasa Melayu sebelum menyertai kementerian itu.

Justeru, peluang itu penulis gunakan untuk bertanya beliau beberapa soalan yang menjadi kemusykilan terutama berkaitan ketekalan (konsistensi) petua atau formula yang digunakan DBP dalam perbendaharaan kata kamusnya.

Ini berikutan sumber utama rujukan bahasa wartawan akhbar berbahasa Melayu ialah kamus DBP terutama kamus dalam talian pada era teknologi maklumat ini.

Kemusykilan utama penulis berkisar kepada ejaan bahasa Melayu daripada perkataan Inggeris dan Arab. Sebagai contoh menurut Kamus Dewan, perkataan Inggeris ‘package’ dalam bahasa Melayu dieja pakej manakala perkataan ‘packet’ yang merujuk kepada bungkusan kecil dieja peket.

Di manakah konsistensi dari segi formula? Walhal empat huruf pertama pada dua perkataan Inggeris itu serupa dari segi huruf atau sebutannya. Mengapa satu perkataan dieja mengikut dua huruf pertama Inggeris manakala satu lagi mengikut sebutan Melayu.

Begitu juga perkataan daripada bahasa Arab. Umpamanya ‘redho’ yang bermaksud merelai dieja reda, sama seperti reda yang bermaksud mula berkurang atau hampir berhenti.

Berbincang mengenai perkataan reda, teringat kisah seorang pembaca akhbar ini yang marah-marah di laman sosial Facebook apabila tajuk satu berita yang bermaksud merelai dieja reda sedangkan bagi pembaca itu ejaan betul ialah redha.

Dia beranggapan dirinya betul, tapi dia tidak tahu perkataan itu dieja berdasarkan rujukan kepada kamus DBP.

Mengikut pemahaman penulis, pakar bahasa DBP memutuskan perihal merelai turut dieja reda kerana sebutannya menggunakan e taling manakala reda atau makin berkurang menggunakan e pepet.

Namun berbeza pula dengan dua perkataan lain seperti solat Tarawih dan Zuhur. Menurut DBP, dua perkataan itu lebih mesra dieja mengikut sebutan asal Arab berbanding Melayu yang dieja Terawih dan Zohor.

Seperkara lain yang dapat penulis perhatikan sepanjang kursus berkenaan adalah penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan peserta bukan Melayu. Mereka mampu bercakap dan menulis dalam bahasa Melayu tapi dari segi penguasaan bahasa masih belum mampu menandingi peserta kaum Melayu.

Ini berbeza di Indonesia. Kaum Cina di sana mampu berkomunikasi dalam bahasa Indonesia dengan baik tanpa ada pelat yang ketara.

Faktor utama ialah sekolah satu aliran yang dipraktikkan di negara itu. Disebabkan itu, kebanyakan pakar akademik bersetuju sistem itu turut dilaksanakan di negara ini. Sistem itu bukan saja dilihat mampu memperkasa penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan rakyat berbilang kaum malah memantapkan lagi perpaduan nasional.

Cadangan sekolah satu aliran bukan perkara baru malah sudah dicanangkan Allahyarham Aminuddin Baki yang menjadi Penasihat Pelajaran Negara satu ketika dulu.

Kerajaan sudah pasti tidak akan meminggirkan bahasa ibunda kaum lain jika cadangan sistem itu dilaksanakan. Mereka boleh belajar bahasa ibunda masing-masing pada waktu tertentu seperti mana di sekolah jenis kebangsaan.

Mempelajari bahasa kebangsaan tidak sesekali membawa kepada kemunduran, ketinggalan dan rendah diri. Lihat saja Perancis, Jerman, Belanda, Sweden, Jepun, Korea Selatan dan China, mereka maju dengan menggunakan bahasa ibunda masing-masing.

Dulu bahasa Melayu klasik pernah menjadi ‘lingua franca’ atau bahasa komunikasi dalam kalangan pedagang terutama ketika zaman kegemilangan Kesultanan Melaka, kini pendatang asing seperti dari Bangladesh, Pakistan, Nepal, Myanmar juga membuktikan bahasa Melayu mudah dipelajari.

Memetik kata pendeta dan ahli sejarah bangsa Belanda pada abad ke-18, Francios Valentijn, yang banyak menulis mengenai wilayah Kepulauan Melayu: “Bahasa mereka, bahasa Melayu, bukan saja dituturkan di daerah pinggir laut, tetapi juga digunakan di seluruh Kepulauan Melayu dan di segala negeri Timur, sebagai satu bahasa yang difahami di mana-mana saja oleh setiap orang.”

Tidak mustahil kegemilangan bahasa Melayu dipulihkan dengan syarat agensi kerajaan yang diamanahkan memartabatkan bahasa kebangsaan iaitu DBP menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan efisien.

Kalau tidak gah seperti dulu sekalipun sekurang-kurangnya bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dikuasai semua rakyat Malaysia seperti mana rakyat Indonesia menguasai bahasa kebangsaannya.

Akhir kata, buat DBP apa jadi kepada pengisytiharan bulan Oktober sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan?

Penulis Pengarang Berita Kanan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2015 @ 5:12 AM