HISHAMMUDDIN (kiri)  mengadakan perbincangan dengan Abang Johari. FOTO ihsan Mindef
HISHAMMUDDIN (kiri) mengadakan perbincangan dengan Abang Johari. FOTO ihsan Mindef
Mohd Roji Kawi


Kuching: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan meningkatkan keberadaan anggota dan aset ketiga-tiga cabang perkhidmatannya di Sarawak khususnya di pusat pengeluaran minyak dan gas, Bintulu.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, itu antara perancangan terbaharu Kementerian Pertahanan (MINDEF) khusus untuk meningkatkan kawalan keselamatan di Sarawak.

Beliau berkata, perancangan itu bagi membolehkan ATM meningkatkan keupayaan pertahanan udara dan maritim di wilayah ini.

"Itu antara perkara utama yang menjadi fokus perbincangan saya pada kunjungan terhadap Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, hari ini.

"Perancangan itu sekaligus memastikan instalasi strategik negara di perairan Sarawak terus terpelihara daripada sebarang ancaman," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Turut hadir dalam pertemuan di kediaman Abang Johari di Jalan Tun Abdul Rahman Yakub itu, Ketua Setiausaha MINDEF, Datuk Seri Muez Abd Aziz; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan Panglima Medan Timur Tentera Darat Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad.

Hishammuddin berkata, dalam pertemuan yang cukup harmoni dan amat baik itu, banyak perkara dibincangkan khususnya dalam usaha mengukuhkan lagi kerjasama yang sedia erat antara kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan terutama dalam konteks pertahanan serta keselamatan.

"Perbincangan berfokus kepada tiga perkara utama iaitu pertamanya keselamatan Sarawak. Dalam konteks ini, saya mengulangi komitmen kepada Premier Sarawak, kerajaan negeri dan seluruh rakyat Sarawak bahawa fokus MINDEF dan ATM tidak pernah pudar untuk terus melaksanakan perancangan terbaik demi meningkatkan tahap pertahanan ATM di seluruh negeri ini.

"Pada masa yang sama, saya turut menyuarakan tekad Kerajaan Persekutuan

khususnya MINDEF untuk terus melangkah ke hadapan bersama kerajaan Sarawak menerusi kerjasama yang lebih erat dan menyeluruh," katanya.

Menurut Hishammuddin, matlamat MINDEF jelas, iaitu demi memastikan keselamatan rakyat serta kedaulatan negeri Sarawak sentiasa terpelihara.

"Itu perkara yang MINDEF dan ATM tidak akan sesekali berkompromi dan demi memastikan usaha memelihara

kedaulatan perairan di Sarawak dapat dilaksanakan secara lebih holistik, Markas Wilayah Laut Timur (MAWILLA) 4 dirancang dibina secara berfasa

menerusi Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) dan RMKe-13,"katanya.

Menurut Hishammuddin, turut menjadi fokus perbincangan bersama Abang Johari ialah pengukuhan pertahanan di sempadan.

"Saya memaklumkan kepada Premier Sarawak bahawa ketika ini atur gerak anggota dan aset Tentera Darat Malaysia (TDM) khususnya Rejimen Sempadan (RS) mencukupi dan sedia dipertingkatkan dari masa ke masa.

"Ini membabitkan keberadaan dan siap siaga di sempadan Sarawak-Kalimantan serta Sarawak-Brunei. Ini termasuklah menambah 12 Pos Imbangan baharu," katanya.

Katanya lagi, keselamatan sempadan sememangnya menjadi fokus utama ATM

khususnya TDM terutama mengambil kira perancangan Kerajaan Indonesia untuk memindahkan ibu kotanya ke Kalimantan.

"Perkara ini juga akan dibincangkan secara terperinci bersama rakan sejawat saya, Menteri Pertahanan Republik Indonesia, Prabowo Subianto ketika mempengerusikan bersama Mesyuarat ke-42 General Border Committee Malaysia-Indonesia (GBC MALINDO) di Kuala Lumpur minggu depan," katanya.

Selain itu, Hishammuddin berkata, turut dibincangkan bersama Abang Johari adalah mengenai Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN) yang sedang berada di peringkat akhir perangkaan.

"Antara fokus dasar ini ialah mewujudkan hab industri pertahanan di lokasi yang dikenalpasti di seluruh negara menerusi kerjasama dengan kerajaan negeri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Ogos 2022 @ 4:51 PM