TAKUNGAN air berhampiran Perumahan UUM Sintok, lokasi kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang ditemukan lemas. FOTO Ihsan PDRM
TAKUNGAN air berhampiran Perumahan UUM Sintok, lokasi kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang ditemukan lemas. FOTO Ihsan PDRM
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: "Saya dah banyak kali pesan pada arwah sebelum ini, jangan main di kawasan takungan air itu, tak sangka pula dia pergi juga ke situ semalam dan ditemukan lemas," kata Mohd Hashim Nazri, 36.

Mohd Hashim, 36, adalah bapa kepada Muhammad Aiman Harith, 10, yang ditemukan lemas di takungan air laluan longkang utama Perumahan Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, semalam.

Dalam kejadian itu, Muhammad Aiman Harith yang juga murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru, Sintok itu dikatakan keluar memancing bersama tiga rakannya di lokasi kejadian.

Difahamkan kejadian berlaku selepas waktu hujan menyebabkan takungan itu dipenuhi air.

Mohd Hashim berkata, ketika kejadian, dia di rumah bersama Muhammad Aiman Harith dan anak perempuan bongsu, Nurisya Amanda, 5, manakala isterinya, Siti Noorazar Shamsudin, 30-an, keluar bekerja syif petang di Jabatan Keselamatan UUM pada 2.30 petang.

"Selepas itu, Muhammad Aiman dipercayai keluar bermain dengan rakannya.

"Tidak lama kemudian saya menerima panggilan daripada isteri yang memberitahu anak kami lemas, saya terus bergegas ke lokasi," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, hari ini.

Mohd Hashim yang juga pesawah berkata, sebaik tiba di situ, dia mendapati orang ramai sedang cuba melakukan bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) terhadap mangsa.

"Tetapi ketika itu pun badan anak saya itu sudah kelihatan lembik dan tidak memberi tindak balas," katanya.

Jenazah anaknya akan dibawa pulang ke kampung mereka di Pida 4 Lama, Jalan Sanglang Mukim Pering, Kodiang selepas selesai urusan bedah siasat untuk dikebumikan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, polis menerima maklumat kejadian lemas itu pada 4.55 petang dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan yang bertugas di klinik UUM.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 12:51 PM