AHLI keluarga Wan Muhammad Ammar gagal menahan sebak selepas mayat kanak-kanak itu ditemukan malam tadi. FOTO Bernama
AHLI keluarga Wan Muhammad Ammar gagal menahan sebak selepas mayat kanak-kanak itu ditemukan malam tadi. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Ibu kepada kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Jalan Ukay Perdana, Ukay Perdana di sini, petang semalam berharap anaknya ditemukan segera.

"Saya berdoa kepada Tuhan agar anak bongsu segera ditemukan walaupun sudah tidak bernyawa," katanya Nuraini Ibrahim kepada Bernama di lokasi pencarian Muhammad Riqullah Mohd Shafie, 10, di Kampung Kemensah, Ulu Kelang hari ini.

Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, dia sempat berbual dengan Muhammad Riqullah pada Jumaat lalu sebelum kanak-kanak itu ke sekolah pada sesi petang menaiki van dan perasan anaknya kerap diam kebelakangan ini.

"Muhammad Riqullah sempat mengajak saya dan sekeluarga untuk pergi bercuti namun saya tidak dapat tunaikan permintaannya itu. Dia memang suka kalau kami pergi berjalan-jalan sebelum ini," katanya.

Operasi mencari dan menyelamat Muhammad Riqullah yang memasuki hari kedua bermula 8 pagi tadi dengan tumpuan di sekitar kawasan kanak-kanak itu dipercayai terjatuh sehingga ke kawasan tebing Sungai Kemensah.

Kejadian dipercayai berlaku ketika Muhammad Riqullah bersama seorang lagi kanak-kanak lelaki, Wan Muhammad Ammar Wan Mohd Noor Hafizan, 8, sedang bermain air di kawasan longkang terbabit sebelum tergelincir dan dihanyutkan arus.

Wan Muhammad Ammar ditemukan lemas petang semalam dipercayai hanyut dalam longkang berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2023 @ 12:16 PM