PERANTI komunikasi yang disambung pada kenderaan untuk menghantar SMS phishing bagi menipu pengguna. FOTO Ihsan SKMM.
PERANTI komunikasi yang disambung pada kenderaan untuk menghantar SMS phishing bagi menipu pengguna. FOTO Ihsan SKMM.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjalankan operasi bersepadu, semalam berjaya mengesan kenderaan yang menjalankan kegiatan memancing data (phishing) menerusi pautan khidmat pesanan ringkas (SMS).

Kenderaan itu ditahan di Cheras di sini, selepas berhenti di bahu jalan, dipercayai bagi menyebar SMS phishing kepada pengguna talian aktif di kawasan berkenaan.

SKMM dalam kenyataan berkata, operasi itu dijalankan susulan maklumat daripada penyedia perkhidmatan telekomunikasi, Maxis.

"Kegiatan suspek dikenal pasti menerusi analisis spektrum oleh penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi bacaan spektrum yang dipancarkan daripada peralatan komunikasi miliknya yang turut menyebabkan gangguan kepada kualiti perkhidmatan rangkaian," katanya hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemui peralatan komunikasi seperti telefon pintar, GSM blaster, antena transceiver dan komputer riba yang disambungkan kepada kenderaan.

"Semua peralatan disita untuk siasatan lanjut dan orang ramai diingatkan agar tidak terpedaya dan tidak sesekali klik pada sebarang pautan menerusi SMS bagi mengelak menjadi mangsa penipuan dalam talian," katanya.

SKMM memaklumkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 233, 238 dan 239 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta Peraturan 16, Peraturan- Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) (Pindaan) 2022 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

"SKMM menyeru orang awam jika terlihat kenderaan mencurigakan yang mempunyai penyambungan peranti komunikasi sebagaimana dinyatakan di atas, untuk berkongsi maklumat dan melaporkan terus kepada MCMC atau PDRM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 7:28 PM