KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memperkenalkan sistem penarafan bintang terhadap syarikat perkhidmatan telekomunikasi ke arah memberi perkhidmatan lebih baik kepada pengguna.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata, ia suatu sistem seperti penarafan hotel yang dinilai berdasarkan kualiti perkhidmatan mereka.

Beliau berkata, kaedah itu adalah perlu berikutan banyak isu dan aduan yang diterima tentang kualiti perkhidmatan daripada syarikat perkhidmatan telekomunikasi supaya ia selari dengan tawaran asal yang dijanjikan mereka. "SKMM dan pihak industri sendiri sedang merangka untuk melaksanakan kaedah penarafan bintang agar pembekal perkhidmatan sentiasa bersaing dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri dan pelancaran logo baharu dan maskot Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) di sini, hari ini.

Jailani berkata, kementeriannya juga mencadangkan SKMM untuk melaksanakan kaedah rebat terhadap syarikat telekomunikasi bagi membayar balik kepada pengguna yang tidak berpuas hati terhadap perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat itu.

Beliau berkata, pengguna yang tidak berpuas hati boleh membuat aduan terhadap perkhidmatan syarikat telekomunikasi melalui CFM dan pihak SKMM akan mengambil tindakan lanjut.

Beliau berkata, sebanyak 3,519 aduan diterima CFM dari Januari hingga Jun tahun ini, yang majoritinya mengadu perkhidmatan kurang memuaskan oleh syarikat telekomunikasi diikuti aduan lain termasuk bil dan caj serta SMS. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2015 @ 6:33 PM