Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Malaysia, Dr. Azmi Sharom
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Malaysia, Dr. Azmi Sharom
Essa Abu Yamin

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat sejurus menerima surat rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berhubung pengosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri bermula hari ini.

Timbalan Pengerusinya, Dr Azmi Sharom berkata, pihaknya masih belum menerima surat rasmi berkenaan daripada Speaker DUN Kelantan.

"Apabila SPR menerima surat berkenaan, kami akan bermesyuarat bagi menentukan tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) di Nenggeri," katanya kepada BH, hari ini.

Terdahulu, Mohd Amar pada sidang media di pejabatnya, mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan berkuat kuasa hari ini.

Keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Tubuh daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim pada 13 Jun dan Bersatu pada 12 Jun lalu, yang memaklumkan hilang keahlian Bersatu dan seterusnya berlaku kekosongan luar jangka kerusi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 3:50 PM