SATISH dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian. FOTO Izz Laily Hussein
SATISH dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian. FOTO Izz Laily Hussein
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memandu dengan kandungan alkohol berlebihan dalam badan sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki, Ahad lalu.

Tertuduh, L Satish Kumar, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret A Shaarmini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu sebuah kenderaan iaitu Mitsubishi Xpander dengan kandungan alkohol dalam badan sebanyak 173 miligram (mg) dalam 100 mililiter (ml) darah dan menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal berusia 17 tahun.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di KM 41 Jalan Johor Bahru-Gelang Patah-Pendas di sini, kira-kira 12.15 tengah malam, Ahad lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 44(1)(6) 1987 (pindaan 2020).

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin serta perlu melapor diri di Balai Polis Kangkar Pulai sebulan sekali serta lesen memandunya digantung sehingga kes selesai.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 23 Julai depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2024 @ 12:43 PM