TANGKAP layar video yang dimuat naik Ammar Iqmal di TikTok. FOTO Ammar Iqmal Saharuddin
TANGKAP layar video yang dimuat naik Ammar Iqmal di TikTok. FOTO Ammar Iqmal Saharuddin
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Kasih sayang dan belas ihsan ditunjukkan seorang lelaki terhadap seekor anak kucing mendapat pujian warganet walaupun dia hanya mengambil dan meletakkan haiwan itu di bahunya.

Tindakan lelaki yang juga pekerja pembersihan sebuah syarikat pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam itu sempat dirakam Ammar Iqmal Saharuddin, 24, dan tular selepas pemuda berkenaan memuat naik di akaun TikTok miliknya.

Sehingga kini, video itu meraih lebih tujuh juta tontonan dan ribuan komen memuji sikap lelaki berkenaan ketika menyantuni haiwan.

Berkongsi kisah sebenar, Ammar Iqmal berkata, video itu dirakam ketika dia dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Pandan ke tempat kerja yang terletak dekat Bangsar, di sini.

"Kejadian itu berlaku pagi kelmarin ketika saya memandu di satu kawasan yang tidak jauh dari , Tun Razak Exchange (TRX).

"Saya rakam spontan kerana nampak anak kucing dan mulanya tak perasan pekerja pembersihan itu sehingga kucing itu berjalan ke arahnya.

"Walaupun pagi namun panas juga kerana matahari agak terik tapi tersentuh apabila tengok lelaki itu tetap melayan anak kucing sambil bekerja," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Ammar Iqmal, video itu dimuat naik di TikTok pada hari yang sama dan tak sangka meraih tontonan tinggi.

"Saya tak tengok telefon selepas muat naik video itu kerana sibuk dengan kerja.

"Pagi semalam, baru saya perasan video itu sudah mendapat tontonan tinggi malah terima banyak notifikasi di TikTok.

"Tak sempat baca semua komen kerana terlalu banyak namun rata-ratanya beri komen positif dan sebagai pencinta kucing, saya memang kagum dengan apa lelaki itu lakukan," katanya yang bekerja sebagai akaun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2024 @ 10:25 PM