WAN Ahmad Fayhsal. FOTO Asyraf Hamzah
WAN Ahmad Fayhsal. FOTO Asyraf Hamzah
Zanariah Abd Mutalib


Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berdepan kemungkinan digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bukan, susulan dakwaannya mengenai surat layang yang dikatakan mengandungi maklumat berkaitan dalang sebenar di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Usul mencadangkan penggantungan Ahli Parlimen Bersatu itu terkandung dalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) dan Usul-Usul bagi persidangan Dewan Rakyat esok.

Berdasarkan AUM itu, usul berkenaan akan dikemukakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, sejurus selepas selesai sesi soal jawab.

Usul itu menyatakan, Wan Ahmad Fayhsal membawa perhatian suatu surat layang yang tidak dapat dikenal pasti identiti pengadu dan kesahihan maklumatnya dan ia bukan saja memberi kesan buruk kepada individu yang didakwa tetapi juga secara umum kepada pegawai agensi di bawah kementerian, yang mungkin teraniaya kerana tuduhan yang tidak berasas itu.

Menurut usul itu, Ahli Parlimen tidak boleh menyebut kelakuan atau sifat mana-mana pegawai kerajaan, selain dalam menjalankan urusannya sebagai pegawai kerajaan.

Dakwaan Wan Ahmad Fayhsal juga disifatkan satu perbuatan yang seolah-olah menjatuhkan martabat pegawai agensi di bawah kementerian yang bertungkus lumus dalam membantu anggota pentadbiran dalam membangunkan Malaysia, selain mengeluarkan kenyataan dan dakwaan yang serius serta bertindak membangkitkan perasaan melawan kuasa kerajaan.

Pada 1 Julai lalu, ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Wan Ahmad Fayhsal menuntut penjelasan diberikan berhubung keputusan penjualan sebahagian saham MAHB selepas beliau dikatakan menerima satu surat layang mendedahkan 'dalang' di sebalik keputusan berkenaan.

Beliau secara terbuka turut menamakan individu terbabit yang didakwanya pegawai atasan di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Wan Ahmad Fayhsal, sebelum itu mengemukakan usul tergempar bagi menggesa penangguhan atau pembatalan penjualan sebahagian saham MAHB kepada syarikat berkait BlackRock, Global Infrastructure Partners (GIP), namun usul itu ditolak Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Sementara itu, pegawai kepada Wan Ahmad Fayhsal memaklumkan, Ahli Parlimen itu akan mengadakan sidang media di Parlimen selepas usul penggantungan berkenaan dibacakan esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2024 @ 11:24 PM