KHIDMAT Modric (kanan) terus ditagih Madrid.
KHIDMAT Modric (kanan) terus ditagih Madrid.
Reuters

Madrid: Pemain tengah Croatia Luka Modric menandatangani kontrak lanjutan setahun yang akan mengekalkannya di Bernabeu sehinggga 2025, menurut kelab LaLiga itu hari ini.

Pemenang Ballon d'Or pada 2018 itu menjulang trofi keenam Liga Juara-Juara (UCL) dan gelaran keempat LaLiga bersama Real musim lalu.

Kontrak Modric sebelum ini tamat pada penghujung musim 2023-24 tetapi dia memberitahu penyokong akan kembali musim depan ketika meraikan kejuaraan UCL yang juga trofi Piala Eropah ke-15 mereka.

Tiada pemain memenangi lebih banyak trofi bersama Real Madrid selain Modric yang menjulang 26 trofi sejak menyertai gergasi Sepanyol itu pada 2012.

Pemain veteran itu diramal bakal bersara terutama selepas rakan segandingan sekian lama di bahagian tengah Toni Kroos, 34, mengumumkan persaraan pada penghujung musim.

Modric turut tidak berhasrat menggantung but di peringkat antarabangsa walaupun Croatia tersingkir awal di Kejohanan Eropah .

"Saya mahu terus beraksi tetapi akan tiba masanya saya menggantung but. Saya akan terus bermain tetapi saya tak tahu berapa lama lagi," kata Modric yang mempunyai 178 kap dengan Croatia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2024 @ 10:49 PM