TANGKAP layar video tular ketika polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian. FOTO Tular
TANGKAP layar video tular ketika polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian. FOTO Tular
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Petaling Jaya: Akibat mabuk, seorang lelaki yang bergaduh dengan rakannya parah ditikam dengan 11 tikaman di perumahan Desa Mentari, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 5.45 pagi itu, rakan mangsa terbabit turut cedera selepas terjun dari tingkat lima bangunan ketika cuba melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar@Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian sebelum ke lokasi dan mendapati terdapat seorang lelaki dalam keadaan terbaring berlumuran darah dipercayai ditikam rakan serumah.

"Suspek yang menikam mangsa ditemukan di tingkat bawah kawasan perumahan berkenaan dalam keadaan cedera," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, suspek dipercayai terjun dari tingkat lima perumahan berkenaan untuk melarikan diri selepas menikam mangsa.

"Suspek patah di bahagian pinggang dan cedera di rusuk kanan. Kedua-dua individu berkenaan dibawa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut," katanya.

Katanya, polis merampas pisau yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian berkenaan.

"Semakan rekod lampau mendapati kedua-dua individu terbabit tidak mempunyai rekod jenayah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2024 @ 9:12 PM