KEADAAN lori yang terbabas dan melanggar enam kenderaan selepas pemandu terkena serangan jantung. FOTO Ihsan PDRM
KEADAAN lori yang terbabas dan melanggar enam kenderaan selepas pemandu terkena serangan jantung. FOTO Ihsan PDRM
Samadi Ahmad


Sepang: Dua penunggang motosikal maut selepas dirempuh lori dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di Jalan Bukit Dugang-Desa Putra di sini, hari ini.

Kemalangan 9.10 pagi itu berlaku apabila pemandu lori dipercayai mengalami serangan jantung menyebabkan kenderaan dipandunya hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, lori yang dipandu dari arah Putrajaya menghala Jenderam merempuh empat kereta dan dua motosikal di laluan bertentangan.

"Seorang lelaki yang juga penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lelaki lain menunggang motosikal berasingan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Putrajaya," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Beliau berkata, pemandu lori turut parah dan kini menerima rawatan di Zon Merah Hospital Putrajaya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Difahamkan, seorang daripada mangsa maut adalah akauntan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) iaitu Mohamad Firdaus Yahya, manakala identiti seorang lagi mangsa belum diketahui.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2024 @ 9:47 PM