GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas tuduhan sengaja menyembunyikan kelahiran janin, Januari lalu.

Majistret A Shaarmini menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Nur Aqilah Ahmad Fairuz Zakri, 23, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, wanita itu sengaja menyembunyikan kelahiran janin yang mati sebelum ia dilahirkan dengan mengebumikan janin itu secara sulit, .

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di Tanah Perkuburan Kampung Pertanian Masai di sini, kira-kira 6 petang, 26 Januari lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Mengikut fakta kes, seorang doktor memberitahu didatangi wanita itu yang memaklumkan dia hamil empat bulan, namun enggan meneruskan kehamilan itu dan mendakwa sudah mengambil dua pil yang diperoleh dari rakannya bagi menggugurkan kandungan.

Difahamkan, wanita itu kemudian datang ke tanah perkuburan berkenaan untuk mengebumikan janin berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2024 @ 1:19 PM