Mohd Husni Mohd Noor


LEBIH 10,000 laporan insiden keselamatan siber diterima CyberSecurity Malaysia setiap tahun terutama berkaitan jenayah siber.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab berkata, laporan berkenaan diterima daripada badan kerajaan, swasta dan individu membabitkan kes kandungan, penafian perkhidmatan, cubaan menceroboh, kod berniat jahat, spam dan kelemahan.

Beliau berkata, bermula awal tahun hingga bulan ini saja, sebanyak 6,891 kes dilaporkan dengan kes tertinggi membabitkan penipuan iaitu sebanyak 3,240 kes.

"Kes kedua tertinggi adalah berkaitan pencerobohan (1,781 kes) dan gangguan siber (499 kes). Ketiga-tiga kes berkenaan adalah insiden siber tertinggi yang dilaporkan setiap tahun kepada CyberSecurity Malaysia," katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara CyberSecurity Malaysia dan May Cyber Teknoloji AS dari Turki di Putrajaya, hari ini.

Majlis MoU berkenaan ditandatangani antara Amirudin dan Pengerusi May Cyber Teknoloji AS, Mehmet Ali Yalcindag sambil disaksikan Pengerusi Lembaga Pengarah CyberSecurity Malaysia, Tan Sri Mohd Azumi Mohamed.

Sementara itu, berhubung insiden kebocoran 46.2 juta data pelanggan perkhidmatan telefon mudah alih yang dipercayai berlaku antara 2014 dan 2015 seperti yang dilaporkan media baru-baru ini, Amirudin berkata, data adalah aset yang boleh digunakan oleh penyerang siber untuk pelbagai tujuan.

"Justeru, semua pihak sama ada organisasi atau individu mesti mengguna pakai amalan terbaik dan jika terdapat sebarang masalah, sila laporkan kepada Pusat Bantuan Cyber 999 dan datang kepada kita untuk mendapatkan sokongan perkhidmatan," katanya.

Mengenai MoU berkenaan, Mohd Azumi berkata, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan dalam keselamatan siber, pembinaan kapasiti melalui program latihan kecekapan dan kemahiran keselamatan siber serta membangunkan strategi pemasaran untuk mempromosi keselamatan siber.

"Melalui kerjasama ini, CyberSecurity Malaysia akan menyumbang kepada pelaburan langsung asing (FDI) dalam industri keselamatan siber negara, selepas mendapat keyakinan daripada organisasi asing untuk melabur di Malaysia," katanya.

Mehmet berkata, May Cyber Teknoloji AS sebagai syarikat peneraju pengeluaran produk keselamatan siber di Turki akan membuka cawangan pertamanya di Kuala Lumpur tahun depan, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai hub mengembangkan khidmat kepakaran mereka di rantau ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2017 @ 4:51 PM